Margin keuntungan Teo Seng Capital dijangka terus terkesan akibat kenaikan harga komoditi | DagangNews Skip to main content

Margin keuntungan Teo Seng Capital dijangka terus terkesan akibat kenaikan harga komoditi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Mei - Kenaikan harga komoditi seperti jagung dan kacang soya di peringkat global dijangka mengurangkan margin keuntungan bagi Teo Seng Capital Berhad.

 

Malacca Securities juga menjangkakan, penularan penyakit dalam kalangan haiwan ternakan juga akan memberi kesan kepada produktiviti kumpulan itu.

 

Firma itu berkata, dari segi kos, harga kacang soya meningkat sebanyak 24.3% pada 1Q22 dan konflik Rusia-Ukraine memburukkan lagi keadaan bekalan global manakala harga jagung meningkat sebanyak 34.6% kesan daripada kemarau teruk yang berlaku di Argentina dan Brazil.

 

"Peningkatan harga makan untuk haiwan ternakan itu melebihi kenaikan harga telur ayam dan ia memberi kesan kepada margin keuntungan kumpulan.

 

"Kami menjangkakan harga telur ayam akan berada pada paras RM0.35 untuk Gred C dan penetapan harga siling itu akan dikawal oleh kerajaan menerusi skim kawalan harga sehingga 5 Jun 2022," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Teo Seng mencatatkan penurunan untung teras bersih sebanyak 65.9% kepada RM4.1 juta pada suku pertama 2022 dan keputusan itu adalah lebih rendah berbanding jangkaan penuh konsensus tahunan sebanyak RM39.8 juta.

 

telur

 

Penurunan itu adalah disebabkan oleh tekanan margin keuntungan yang dihadapi yang lebih tinggi dari segi kos makanan haiwan ternakan.

 

Firma itu berkata, Teo Seng berhasrat untuk mengmbangkan perniagaan industri hiliran mereka dengan menawarkan pelbagai produk telur ayam yang dipastur selain komited untuk meningkatkan pengeluaran telur ayam kepada 4.25 juta dan 4.5 juta untuk FY22 dan FY23.

 

"Sebagai sebuah ladang bersepadu, Teo Seng dilihat mampu memenuhi peningkatan pemintaan untuk telur ayam, bagaimanapun ketidaktentuan harga komoditi dunia serta tekanan inflasi dan krisis Rusia-Ukraine akan terus memberi cabaran besar kepada margin keuntungan kumpulan.

 

"Atas dasar itu, kami menyemak turun unjuran pendapatan kumpulan sebanyak 41.5% kepada RM23.3 juta bagi FY22 dan pendapatan bagi FY23 diunjurkan berada pada paras RM36.1 juta.

 

"Kami juga menyemak turun penarafan Teo Seng kepada 'jual' berbanding 'beli' sebelum ini pada harga sasaran (TP) RM0.63," katanya. - DagangNews.com