Margin untung Dayang Enterprise dijangka bertambah baik dipacu persekitaran operasi yang positif | DagangNews Skip to main content

Margin untung Dayang Enterprise dijangka bertambah baik dipacu persekitaran operasi yang positif

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Jun - RHB Research menjangkakan margin keuntungan Dayang Enterprise Holdings Berhad bagi 2022-2023 akan bertambah baik dipacu oleh persekitaran operasi yang lebih baik dan kelonggaran kuarantin dan prosedur operasi standard.

 

Firma itu berkata, margin pemprosesan kasar (GPM) kumpulan itu berada pada paras 12% pada 2021 dan mungkin akan mencapai 32% seperti FY20 bagi tahun ini.

 

"Kami percaya ia akan memakan masa untuk margin keuntungannya kembali seperti sebelum pandemik iaitu 40% hingga 47% (pada tahun 2018 dan 2019) terutamanya selepas menghadapi tekanan yang semakin meningkat dalam kos logistik dan peralatan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu berjaya merekodkan keuntungan pada suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2022 dengan untung berish RM13.76 juta berbanding kerugian bersih RM27.54 juta pada tahun lalu.

 

Keputusan itu menjadikan pendapatan sesaham sebanyak 1.19sen bagi 1QFY22 berbanding kerugian 2.55 sen sesaham pada 1QFY21.

 

Prestasi suku tahunan yang bertambah baik disebabkan terutamanya oleh tuntutan insurans yang diterima daripada insiden MV Dayang Topaz sebanyak RM3.6 juta, keuntungan bersih dalam pertukaran asing sebanyak RM900,000, serta caj susut nilai yang lebih rendah sebanyak RM4.9 juta.

 

Firma itu berkata, dengan purata umur kapal 12 tahun, kumpulan itu berhasrat untuk memperbaharui program Petronas Safina melibatkan 16 kontrak piagam bina baharu OSV.

 

Kumpulan itu sedang membida untuk mendapatkan dua tangki kraf pendaratan dan dua bekalan tunda pengendalian sauh (AHTS).

 

"Kami percaya kumpulan itu mempunyai peluang yang baik untuk memenangi projek itu dan mampu mengembangkan armadanya dengan sekurang-kurangnya dua hingga empat kapal," katanya.

 

Firma itu bagaimanapun tidak membuat sebarang penarafan kepada kumpulan itu dengan nilai wajar (FV) RM1.24. - DagangNews.com