Marina Bay Sands lantik firma guaman siasat isu pemindahan wang | DagangNews Skip to main content

Marina Bay Sands lantik firma guaman siasat isu pemindahan wang

SINGAPURA 17 Sept. - Kasino milik Las Vegas Sands Singapura, Marina Bay Sands (MBS) telah melantik firma guaman untuk menyiasat pemindahan wang penjudi kepada pihak ketiga lebih daripada SG$1.36 bilion.

MBS dalam satu kenyataan berkata, setelah isu berkenaan diketahui, pihaknya menyiasat perkara tersebut secara terperinci dan mendapati tiada wang pelanggan yang dipindahkan bertentangan niat mereka. 

“MBS terus bekerja rapat dengan pihak kawal selia untuk memastikan MBS patuh akan undang-undang,” katanya.

Sebelum ini, sebuah firma guaman dilantik oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dan pihak berkuasa Singapura selepas klien menyaman MBS atas dakwaan AS$9.1 juta wangnya dipindahkan kepada penjudi lain tanpa pengetahuan. 

Bagaimanapun, saman itu diselesaikan di luar mahkamah pada Jun lalu dengan MBS setuju untuk mengembalikan jumlah sama.

Menurut Bloomberg, saham Las Vegas Sand merudum 4.2% semalam selepas merosot 8.9% sejak Mac lalu. 

“Saman yang difailkan oleh klien mendorong pengawasan oleh beberapa pihak berkuasa berhubung bagaimana MBS mengendalikan dan mengawal selia pemindahan wang melibatkan pihak ketiga. 

“Urus niaga berkenaan apabila dikawalselia, patuh undang-undang dan boleh digunakan penjudi di Asia untuk mendapat keuntungan besar dan rugi di kasino berbeza. 

“Pemindahan wang itu kadang-kala dilakukan menerusi pengedali lawatan yang menyediakan pengangkutan, hotel dan kredit kepada penjudi yang mempertaruhkan wang berjumlah besar,” jelas Bloomberg. 

Sementara itu, Pejabat Peguam AS yang menemubual bekas ketua pematuhan MBS pada Julai lalu menyiasat sekiranya prosedur pengubahan wang haram itu telah melanggar pengendalian penjudi. 

Berdasarkan urus niaga yang diteliti dalam tinjauan Hogan Lovells, surat yang membenarkan pemindahan bernilai $ 365 juta dari beberapa pelanggan mempunyai tanda tangan yang  serupa, memudahkan banyak pemindahan. - DagangNews.com