Marine & General jual kapal tangki JM Sutera 5 kepada Kalianda Permata pada harga AS$5.5 juta | DagangNews Skip to main content

Marine & General jual kapal tangki JM Sutera 5 kepada Kalianda Permata pada harga AS$5.5 juta

JM Sutera 5 - Foto/Jasamerin
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Mac - Marine & General Bhd (M&G) menjual kapal tangki minyaknya, JM Sutera 5, kepada Kalianda Permata Transport Pte Ltd pada harga AS$5.55 juta bagi membiayai sebahagian strategi pengoptimuman armadanya.

 

Kumpulan itu berkata, kos pelaburan untuk JM Sutera 5 yang dibina pada 2008 ialah AS$5.42juta dengan nilai bawaan bersih direkodkan pada AS$4.36 juta.

 

Kumpulan itu berhasrat untuk melabur semula dalam kapal tangki kimia baharu.

 

"Keputusan sebenar mengenai pelaburan semula bergantung kepada permintaan pasaran dan keperluan penyewa," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Kumpulan itu pada Disember 2023 telah melupuskan JM Sutera 7, pada harga AS$5.8 juta kepada Narsimhaa Shipping Inc Liberia.

 

Pada 31 Januari 2024, tunai dan baki bank M&G berjumlah RM44.57 juta, dengan pinjaman jangka pendek RM83.03 juta dan pinjaman jangka panjang RM559.81 juta.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Januari 2024 (9MFY24), untung bersih M&G meningkat hampir dua kali ganda kepada RM28.91 juta daripada RM14.81 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya, manakala hasil meningkat 15% kepada RM264.86 juta daripada RM231.12 juta.

 

M&G berkata, peningkatan dalam prestasi kewangannya didorong penggunaan kapal dan kadar sewa yang lebih tinggi untuk kapal luar pesisir, sejajar dengan peningkatan berterusan dalam aktiviti penggerudian minyak dan pemulihan ekonomi am di rantau ini.

 

“Bagi bahagian hiliran, semua kapal yang ada masih dalam tempoh kontrak dan kumpulan sedang melakukan usaha bagi mengoptimumkan penggunaan armada bagi mencapai penggunaan lebih baik pada masa hadapan.

 

"Kumpulan akan terus berhati-hati terhadap potensi gangguan ekonomi semasa kesan daripada ketidakstabilan geopolitik di Eropah dan Asia Barat yang boleh menjejaskan iklim ekonomi serantau dan domestik," katanya. - DagangNews.com