Marriot rancang bina 20 hotel kembangkan rangkaian di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Marriot rancang bina 20 hotel kembangkan rangkaian di Malaysia

Courtyard by Marriot Melaka - Gambar dari Facebook
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Sept - Marriott International memulakan pelan pengembangannya dengan rancangan pembinaan 20 hotel baharu di Malaysia bagi memanfaatkan sektor pelancongan yang berkembang pesat di Asia Tenggara.

 

Pengerusi Lembaga Pengarah Marriott International, David S. Marriott berkata, kumpulan itu kini terbuka kepada penggabungan, pengambilalihan dan perkongsian bagi mencapai sasaran itu.

 

Beliau berkata, jenama itu sudah berada di Malaysia hampir tiga dekad dengan pembukaan Hotel Renaissance Kuala Lumpur pada 1996.

 

"Saya bercakap dengan bapa saya (Bill Marriott) sebelum datang ke sini, dan dia teringat bagaimana kami mempunyai dua hotel pada 2003 semasa lawatan pertamanya ke Malaysia, lebih 20 tahun lalu.

 

"Beliau sangat kagum untuk mengetahui pertumbuhan luar biasa yang kami ada di Malaysia," kata David semasa sesi meja bulat bersama media hari ini, lapor Bernama.

Kini, jenama itu kini mengendalikan 50 hotel di seluruh negara. 20 hotel baharu itu akan dibuka secara berperingkat bermula tahun ini hingga 2029 dengan tujuh daripadanya kini dalam perancangan.

 

Kumpulan itu berkata, ia akan membuka The Millen yang dijadualkan pelancarannya di Pulau Pinang tahun ini.

 

Marriott juga telah memeterai perjanjian francais dengan Iconic Penang Sdn Bhd untuk membuka Hotel Iconic Marjorie, Pulau Pinang pada 2024.

 

Selain itu, Sheraton Johor Bahru dan AC Hotel di Ipoh pula dijadualkan dibuka pada tahun 2025.

 

Kumpulan itu juga telah memeterai perjanjian pengurusan dengan Westfield Global Sdn Bhd bagi membawa jenama The Westin ke Pulau Pinang dan dengan Kumpulan SKS bagi membuka Courtyard by Marriott Subang, kedua-duanya akan dibuka pada 2026.

 

Pada Julai tahun ini, Marriott menandatangani perjanjian dengan Kumpulan Ideal untuk membuka Penang Marriott Hotel Queens Waterfront dan Marriott Residences Queens Waterfront, di Bayan Lepas, Pulau Pinang yang dijadualkan dibuka pada 2029.

 

Semasa meja bulat media, David menekankan, mengadakan pertemuan yang produktif dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal hari ini.

 

"Kami membincangkan peluang dan tanggapan yang kami kumpulkan di Malaysia, termasuk keperluan untuk lebih banyak syarikat penerbangan dan penerbangan terus ke negara ini, terutamanya untuk pasaran bernilai tinggi.

 

"Kami juga bercakap tentang bagaimana Malaysia perlu mempromosikan tarikan uniknya kepada dunia dengan lebih baik," katanya.- DagangNews.com