Marrybrown jalin kerjasama buka cawangan baharu di Kemboja, Uzbekistan | DagangNews Skip to main content

Marrybrown jalin kerjasama buka cawangan baharu di Kemboja, Uzbekistan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Jun - Selepas pembukaan cawangan di Australia, Marrybrown memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan SP QSR and Food Services Co. Ltd. dan Gemilang International Limited bagi pembukaan cawangan baharu di Kemboja dan Uzbekistan.

 

Francais makanan segera yang memiki pengalaman 40 tahun dalam industri itu berkata, mereka merancang pembukaan lebih 30 cawangan baharu di kedua-dua negara itu dalam tempoh lima tahun susulan permintaan makanan halal yang menggalakkan.

 

Pengarah Eksekutif Kumpulan Marrybrown, Datuk Joshua Liew berkata, kerjasama itu adalah sejajar dengan rancangan perkembangan mereka.

 

"Dengan pengalaman dan pengetahuan yang meluas tentang pasaran tempatan, kami optimis bahawa kerjasama ini akan mendatangkan kejayaan yang luar biasa. 

 

"Pembukaan cawangan terbaharu itu membolehkan kami mengetengahkan pengalaman pemakanan yang unik dan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pelanggan baharu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

brown

 

Susulan kerjasama itu, Marrybrown bersedia untuk melancarkan cawangan pertamanya di Phnom Penh, Kemboja, menandakan langkah utama mereka dalam mewujudkan kehadiran yang baharu di negara itu. 

 

Ia kemudian akan disusuli pembukaan cawangan pertama di Uzbekistan iaitu di Tashkent City. 

 

“Dengan peningkatan permintaan untuk makanan halal, Marrybrown mengambil peluang ini untuk menghidangkan pilihan makanan yang diperlukan. 

 

"Meluaskan cawangan kami ke Phnom Penh dan Tashkent City membolehkan kami untuk membawa kelazatan hidangan Malaysia yang diperakui halal ke pasaran baharu,” kata Joshua.

 

Marrybrown kini mempunyai lebih 500 restoran di 16 negara dengan penyediaan standard kualiti, servis, kebersihan dan nilai tertinggi untuk pengalaman pemakanan yang sempurna. - DagangNews.com