KUALA LUMPUR 4 Mei - Malaysia Airlines Bhd tidak ada rancangan menjalin usaha sama atau mahu bergabung dengan syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd, malah tidak pernah ada perbincangan mengenainya.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Izham Ismail berkata, meskipun dua syarikat itu berdepan detik paling sukar dalam industri penerbangan disebabkan COVID-19, ia bukanlah masa terbaik untuk menjalin kerjasama atau bergabung terutama ketika tempoh mencabar ketika ini.
Menurut beliau, tiada sebarang usaha sama akan dimuktamadkan antara dua entiti penerbangan ini buat masa ini kerana fokus MAS untuk kekal berdaya tahan dalam tempoh paling mencabar untuk industri penerbangan.
"Apa yang boleh saya perkatakan, saya harap mereka (AirAsia) dapat keluar dari kesan pandemik.
"Walaupun AirAsia adalah pesaing kami, kami melihat kepentingan syarikat ini yang menjadi 'enabler' kepada ekonomi negara," katanya pada taklimat media perkembangan terkini perniagaan MAG secara maya, hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pegawai Strategi Kumpulan MAG, Bryan Foong; dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan MAG, Boo Hui Yee.
Ditanya mengenai cadangan penggabungan Malaysia Airlines-AirAsia, Izham berkata, tiada sebarang perbincangan dibuat untuk menggabungkan kedua-dua syarikat penerbangan itu ketika ini.
"Saya tidak tahu bagaimana perkara ini kembali mendapat perhatian media," katanya, menurut Berita Harian.
April tahun lalu, Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi bayangan mengenai kemungkinan penggabungan di antara Malaysia Airlines dan AirAsia Group Bhd.
Penggabungan adalah bagi menyelamatkan syarikat penerbangan nasional itu yang berhadapan dengan krisis kewangan sejak penularan pandemik COVID-19, menyebabkan banyak penerbangannya terpaksa digantung.
Mohamed Azmin dilaporkan berkata, perbincangan mengenai pilihan lain akan turut diadakan tidak lama lagi dalam usaha menyelamatkan industri penerbangan negara.
Untuk rekod, gesaan supaya penggabungan Malaysia Airlines dan AirAsia itu bukanlah sesuatu yang baharu dan pernah dibincangkan sebelum ini walaupun tidak menghasilkan sebarang keputusan muktamad.
Namun, pada Julai lalu, Khazanah Nasional Bhd yang juga pemilik penuh Malaysia Airlines berkata, sebarang penggabungan seumpamanya sukar dilaksanakan atas alasan model perniagaan dan budaya kerja berbeza.
Pada Ogos lalu, isu penggabungan Malaysia Airlines-AirAsia kembali hangat apabila ia dibangkitkan di Parlimen.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dalam sidang Dewan Rakyat menjelaskan idea penggabungan kedua-dua syarikat itu hanya di peringkat perancangan.
Mengulas lanjut, Izham berkata, penggabungan Malaysia Airlines-AirAsia sukar bergabung memandangkan kedua-dua syarikat memiliki modul perniagaan yang berbeza.
"Pada pendapat saya, ia bukanlah masa yang sesuai untuk penggabungan atau pengambilalihan terutama ketika tempoh yang mencabar pada masa ini dengan persekitaran perniagaan dan ekonomi kurang memberangsangkan akibat pandemik.
"Secara peribadinya, tumpuan kami ketika ini adalah menstruktur semula lembaran imbangan Malaysia Airlines menjadi lebih baik," katanya.
Beliau menjelaskan, pemulihan trafik penerbangan bergantung pada masa ini bergantung kepada pelaksanaan program vaksinasi dan langkah membendung penularan COVID-19.
"Terdapat tiga komponen yang akan menyokong pemulihan perjalanan udara dalam tempoh terdekat. Pertama, program vaksinasi, perubahan dalam operasi dan perkhidmatan serta pelaburan dalam infrastruktur pelancongan utama seperti destinasi popular untuk membangkitkan semula kehadiran pelancong.
"Kedua adalah sempadan negara menjadi aspek mustahak bagi memulakan semula perjalanan antarabangsa selain kerjasama kerajaan dan swasta penting untuk mewujudkan pendekatan dan dasar sesuai termasuk pasport perjalanan bagi menguruskan pergerakan keluar masuk pelancong.
"Ketiga, kerajaan perlu memberi sokongan untuk menghidupkan semula industri perjalanan termasuk membabitkan insentif perjalanan untuk memacu permintaan selepas pintu sempadan dibuka semula," katanya. - DagangNews.com