Masalah '3 serangkai' dibimbangi terus menjadi punca kenaikan harga barang mendadak, kata Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

Masalah '3 serangkai' dibimbangi terus menjadi punca kenaikan harga barang mendadak, kata Muhyiddin

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Okt - Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyuarakan kebimbangannya mengenai kenaikan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST), pelaksanaan subsidi bersasar dan kelemahan ringgit akan menjadi 'masalah tiga serangkai' kepada kenaikan harga barang secara mendadak.

 

Ia secara tidak langsung mengurangkan kuasa membeli pengguna dan meningkatkan kos sara hidup rakyat.

 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh mengakui bahawa kenaikan kadar SST itu dikecualikan daripada sektor barang makanan dan minuman tetapi menyatakan bahawa keperluan harian rakyat tidak terhad hanya kepada makan dan minum sahaja. 

 

"Setiap kali ke pasaraya, di dalam troli mereka itu ada juga bahan pencuci, sabun mandi, shampoo, peralatan dapur, pewangi dan lain-lain. Sekali sekala ada juga alat-alat kosmetik dan pakaian yang tidak terkecuali daripada kenaikan kadar SST. 

 

"Semua ini tentunya akan memberi kesan langsung kepada peningkatan kos sara hidup rakyat," katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

 

expm
Tan Sri Muhyiddin Yassin

 

Muhyiddin berkata, pada masa ini, pertumbuhan ekonomi masih lemah dengan inflasi teras terutama kos bahan makanan kekal tinggi tetapi kerajaan seolah-olah cukup selesa dengan kadar inflasi yang berada pada 2% dan mengandaikan trend ini akan terus menurun. 

 

Hakikatnya, pelbagai faktor semasa seperti kejutan geopolitik, kedudukan ringgit serta tekanan harga minyak dunia yang tidak menentu akan meningkatkan risiko inflasi. 

 

Beliau berkata, pendapatan rakyat tidak meningkat seiring dengan peningkatan kos sara hidup kerajaan sehingga kini masih gagal melaksanakan dasar dan model Gaji Progresif seperti yang dijanjikan sebelum ini. 

 

Selain itu katanya, sumbangan komponen pampasan pekerja kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada kadar 37.5% sebelum pandemik COVID-19 telah menurun kepada 32.4% pada tahun 2022. 

 

"Ini menunjukkan keadaan isi rumah yang sentiasa tidak mampu menampung kenaikan harga barang dan perkhidmatan. 

 

"Jadi apakah perancangan khusus kerajaan untuk mencapai sasaran bahagian pampasan pekerja sebanyak 45% daripada KDNK dalam tempoh 10 tahun. Selagi isu pendapatan tidak dapat diselesaikan, maka selagi itulah masalah bebanan kos sara hidup akan berterusan," katanya. - DagangNews.com