Masalah buruh jadi cabaran utama industri sawit | DagangNews Skip to main content

Masalah buruh jadi cabaran utama industri sawit

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 13 Julai - Masalah kekurangan tenaga buruh dijangka terus menjejaskan industri sawit negara meskipun harga minyak sawit mentah diniagakan tinggi ketika ini. 

 

Bagi penganalisis selagi pandemik COVID-19 belum berakhir, industri tersebut akan berdepan dengan cabaran ini sekurang-kurangnya sehingga suku ketiga 2021.  

 

Menurut CGS-CIMB, meskipun pengeluaran minyak sawit mentah meningkat 2.2% kepada 1.61 juta tan metrik pada Jun tetapi ia 15% lebih rendah bagi perbandingan tahun ke tahun disebabkan masalah buruh. 

 

"Kes jangkitan yang masih tinggi dan pelaksanaan sekatan pergerakan buat masa ini dilihat akan terus menangguhkan keputusan kerajaan membenarkan kemasukan pekerja ke ladang sawit. 

 

"Kami bimbang melihat situasi ini akan memburukkan lagi keadaaan (masalah buruh terutama bagi kerja-kerja mengutip buah sawit) sehingga suku ketiga ini ini yang mana akan menjejaskan produktiviti," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang dikeluarkan semalam menunjukkan stok minyak sawit mentah meningkat ke paras 9 bulan tertinggi sebanyak 1.61 juta tan metrik setakat akhir Jun 2021. 

 

Paras inventori minyak sawit ini meningkat 2.82% bulan ke bulan sejak September lalu. 

 

Bagaimanapun, output bagi separuh pertama 2021 susut 8% tahun ke tahun dan hanya merangkumi 43% daripada unjuran pengeluaran minyak sawit mentah tahun ini kepada 19.4 juta tan metrik. 

 

 

Baca : Stok minyak sawit cecah paras tertinggi 9 bulan

 

 

CGS-CIMB juga mendapati, antara faktor lain yang menyumbang kepada hasil dan bekalan lebih rendah adalah disebabkan pokok-pokok sawit yang tua, kadar penanaman semula yang rendah dan input baja lebih rendah.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan risiko penurunan bagi unjuran pengeluaran tahun ini memandangkan kami menganggap pekerja asing kembali bekerja pada separuh kedua 2021," tambahnya. 

 

Firma itu turut menjangkakan stok minyak sawit akan meningkat 3.4% bulan ke bulan kepada 1.67 juta tan metrik akhir Julai ini dengan output dan eksport masing-masing berkembang 5% dan 2%. 

 

"Menjelang akhir bulan ini juga, harga minyak sawit mentah diunjur berlegar antara RM3,400 hingga RM4,000 tan metrik.

 

"Unjuran ini dibuat di tengah-tengah inventori minyak boleh dimakan yang rendah di peringkat global dan penurunan besar harga minyak sawit sebanyak AS$350 satu tan metrik berbanding minyak kacang soya," katanya.

 

Sementara itu, MIDF Research mengekalkan saranan 'positif' bagi sektor ini dengan unjuran harga minyak sawit mentah sekitar RM3,200 tan metrik. 

 

Firma itu percaya situasi kekangan bekalan yang dihadapi industri ini akan berterusan sekurang-kurangnya sehingga suku ketiga dengan mengambil kira pertumbuhan output yang perlahan.  

 

Namun, ia menjangkakan pengeluaran akan meningkat pada bulan-bulan akan datang apabila industri sawit memasuki musim pengeluaran puncak antara Julai hingga Oktober.

 

"Tetapi, kami kekal berhati-hati terhadap tahap pengeluaran ini disebabkan penggunaan tenaga buruh yang rendah dan pelaksanaan prosedur standard operasi (SOP) yang ketat. 

 

"Kami juga mendapati masalah buruh ini menyebabkan aktiviti pengutipan buah menjadi lambat sekali gus menjejaskan kualiti tandan buah segar," katanya. 

 

Bagaimanapun, MIDF Research berkata, kelulusan yang diberikan terhadap sektor komoditi untuk terlibat dalam program vaksinasi akan mengatasi masalah tenaga buruh ini. 

 

Sehubungan itu, firma tersebut berpendapat, harga minyak sawit mentah tidak mungkin berlegar di bawah paras RM2,500 satu tan metrik dengan mengambil kira situasi kekurangan tenaga buruh.

 

Ia juga didorong faktor lain, antaranya pelaksanaan sekatan pergerakan dalam sektor agribisnes, peningkatan eksport dan permintaan kukuh minyak sawit berasaskan biodiesel.

 

Pada Jun, harga purata minyak sawit mentah susut 15.47% kepada RM3,828 satu tan metrik daripada RM4,529 satu tan metrik bulan sebelumnya. 

 

Harga minyak sawit tertinggi direkodkan pada 3 Jun iaitu RM4,270.50 satu tan metrik, menurut MIDF Research. - DagangNews.com