Masalah disiplin: Ke manakah hala tuju pembentukan nilai pelajar? | DagangNews Skip to main content

Masalah disiplin: Ke manakah hala tuju pembentukan nilai pelajar?

oleh Dr Mohd Syaubari Othman

SITUASI pendidikan negara telah mengalami perubahan dengan begitu ketara. Menerusi tempoh jangka masa yang singkat para pendidik di pelbagai peringkat perlu mengubah mod pembelajaran dan mempelajari penggunaan platform dalam talian untuk mengoptimumkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

 

Persoalan sama ada bersedia atau tidak bukan sesuatu yang perlu dibahaskan, sebaliknya sebagai pendidik keperluan untuk perubahan paradigma ini perlu dilaksanakan dan penerokaan pelbagai kemungkinan perlu dipastikan demi memastikan kelangsungan pendidikan.

 

Sejak kebelakangan ini kes pelanggaran disiplin dalam kalangan pelajar sering menjadi tajuk utama di dada akhbar, malah sebahagiannya pada tahap yang membimbangkan seperti gejala buli, gangsterisme, samseng, buang anak dan memukul guru.

 

Ada yang mempersalahkan pelajar yang tidak bermotivasi, ada juga mempersalahkan pihak guru yang tidak profesional dalam menjalankan tugas dan ada berpendapat ibu bapa perlu dipersalahkan kerana mengabaikan tanggungjawab mereka.

 

Malah ada juga yang meletakkan kesalahan tersebut kepada pihak sekolah yang lebih mementingkan pencapaian akademik dari elemen pembentukan nilai.

 

Namun dengan berbagai pendekatan untuk memastikan sama ada dari aspek teknologi, penjajaran kurikulum, amalan pedagogi dan pentaksiran bilik darjah membantu kepada proses PdPr dilaksanakan secara berkesan isu pembentukan nilai menjadi suatu yang tidak boleh diabaikan.

 

Persoalan sejauh manakah PdPr ini membantu kepada pembentukan nilai pelajar adalah perlu dianalisis secara holistik.

 

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini isu berkaitan nilai sentiasa menjadi sebutan di kalangan masyarakat, terdapat berbagai salah laku dan kemerosotan nilai yang berlaku, ini ditambah dengan penggunaan media sosial secara meluas telah membentuk pendedahan setiap isu dengan begitu meluas.

 

Tidak guna bagi kita mempunyai infrastruktur bertaraf kelas pertama tetapi rakyatnya masih mempunyai mentaliti kelas ketiga, ini dibuktikan dengan beberapa sindrom negatif seperti gagal mematuhi peraturan, tabiat membuang sampah di merata tempat, memandu kurang sopan, kurangnya kesedaran sivik terhadap harta benda awam dan kekasaran terhadap pelanggan.

 

Negara kita perlu memiliki rakyat berbudi bahasa, bertanggungjawab, hormat-menghormati, beramanah, jujur serta berintegriti kerana sistem nilai murni itu menjadi kayu pengukur sebenar sebuah negara maju.


 

parafrasa

 


Pembangunan dilaksanakan dengan begitu pesat dan maju tidak bermakna tanpa sistem nilai sewajarnya.

 

Untuk itu, terlaksananya pembelajaran yang menyeronokkan adalah penting bagi memastikan masalah disiplin ini dapat dikurangkan. Jalinan tugas ibu bapa menjadi sepenuhnya dalam memastikan aspek nilai dibentuk dan dihayati oleh pelajar.

 

Jika sebelum ini guru adalah antara individu terlibat secara bersama dengan ibu bapa dalam proses penyemaian nilai namun dengan kekangan yang wujud, aspek tanggungjawab ini telah beralih arah.

 

Ibu bapa perlu sentiasa prihatin serta mengawasi anak mereka, pada masa sama, mempertingkatkan komitmen bagi membina sebuah keluarga yang harmoni, memupuk nilai positif supaya anak mereka menjadi warga negara yang produktif dan sihat dari segala segi sama ada mental dan fizikal.

 

Komitmen dan pengaplikasian motivasi dalaman sama dalam membangunkan akhlak anak dan remaja tidak boleh diabaikan.

 

Sikap dan sistem nilai harus dipupuk kepada setiap anggota keluarga seterusnya bagi memastikan anak dibesarkan dalam suasana harmoni dan baik serta diserapkan nilai murni untuk menghadapi pelbagai cabaran pada masa hadapan.

 

Ibu bapa era pandemik ini harus dilengkapkan dengan kemahiran-kemahiran tertentu seperti kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran nilai, kemahiran memahami situasi dan kemahiran emosi.

 

Kemahiran ini bermatlamat untuk memahami keadaan fizikal, mental, emosi dan nilai dalam setiap ahli dalam sesebuah keluarga, ini adalah penting bagi memastikan kejayaan (institusi kekeluargaan) sebagai benteng untuk memerangi masalah sosial dan keruntuhan akhlak.

 

Pengukuhan institusi kekeluargaan, harus mengambil kira aspek mengenai pendidikan dan kemajuan pelajaran anak.


 

parafrasa

 


Sikap suka mendengar serta berinteraksi dengan anak secara terbuka dengan memberikan beberapa pandangan supaya dapat meningkatkan pemahaman serta memajukan lagi diri mereka di dalam bidang pelajaran adalah penting.

 

Ruang dan masa semasa PdP adalah peluang terbaik untuk ibu bapa untuk menyemai nilai-nilai yang baik dan murni dalam kalangan anak-anak seiring dengan amalan yang di ajar di sekolah. Sebagai pendidik, guru dan ibu bapa perlu bekerjasama dan sentiasa bersedia dengan segala ketidaktentuan yang melanda dunia sekarang.

 

Asas yang penting adalah anak-anak yang mengikuti pendidikan di negara ini diberikan yang terbaik demi memupuk potensi mereka bagi menjadi pemimpin masa akan datang dengan kekukuhan nilai menjadi suatu yang diserapkan dalam setiap diri.

 

Adalah menjadi harapan, isu masalah disiplin di kalangan pelajar ini perlu digunakan dengan sebaik-baik untuk pihak Kementerian Pendidikan Malaysia bersama ibu bapa untuk menilai semula sejauh manakah agenda pembentukan nilai diterjemahkan dalam kerangka pelaksanaan oleh pelajar dalam kehidupan seharian. – DagangNews.com

 

 

Dr Mohd Syaubari Othman adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris