Masalah kekurangan tenaga buruh ambil masa kembali pulih, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Masalah kekurangan tenaga buruh ambil masa kembali pulih, kata CGS-CIMB

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 25 Okt. - Kemasukan 32,000 pekerja asing ke negara ini dijangka dapat meningkatkan semula produktiviti dalam sektor perladangan di Malaysia pada tahun hadapan. 

 

CGS-CIMB melihat perkembangan tersebut adalah positif meskipun masalah tersebut mengambil masa tertentu sebelum ia kembali pulih. 

 

"Pengambilan pekerja asing sebahagiannya dapat menangani isu kekurangan tenaga buruh yang dialami industri dengan anggaran seramai 70,000 orang.

 

"Pada masa sama, ia juga membantu meningkatkan hasil pengeluaran buah tandan segar yang terjejas sebelum ini. Dalam tempoh 9 bulan ini, pengeluaran minyak sawit mentah susut 9% tahun ke tahun," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Bagaimanapun, menurutnya, syarikat perladangan belum lagi menambah pekerja asing baharu kerana menantikan penggubalan prosedur operasi standard (SOP) dan butiran/kelulusan yang lebih terperinci.

 

Baca : Zuraida: 32,00 pekerja asing untuk sektor perladangan diluluskan

 

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Malaysia sudah bersedia untuk membenarkan kemasukan seramai 32,000 pekerja ladang asing termasuk dari Indonesia.

 

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin dalam pertemuan dengan 3 anggota kabinet Indonesia ketika lawatan rasmi beliau ke negara itu bagaimanapun berkata, kebenaran itu bergantung kepada perjanjian persefahaman (MOU) yang akan dipersetujui dalam masa terdekat.

 

Malaysia mula menyekat pengambilan pekerja asing sejak Jun 2020, sekali gus memburukkan situasi disebabkan permit pekerja asing yang tamat tempoh, pemburuan haram pekerja asing oleh sektor lain dan SOP 'buka dan tutup' ketika negara melaksanakan pelbagai perintah sekatan pergerakan.

 

Secara keseluruhan CGS-CIMB mengekalkan saranan 'neutral' ke atas sektor perladangan negara dengan meletakkan saranan 'beli' ke atas saham Genting Plantations Bhd., Hap Seng Plantations Bhd. dan Kuala Lumpur Kepong Bhd. - DagangNews.com