Masato Yoshiie dilantik sebagai Presiden dan CEO Canon Marketing Malaysia baharu | DagangNews Skip to main content

Masato Yoshiie dilantik sebagai Presiden dan CEO Canon Marketing Malaysia baharu

Masato Yoshiie
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Jan - Canon Marketing Malaysia mengumumkan beberapa perubahan kepimpinan strategik, berkuat kuasa mulai 2 Januari 2024, yang mana pelantikan itu bertujuan untuk terus memacu pertumbuhan dan mendorong inovasi dalam pasaran di negara ini.

 

Canon berkata, perubahan tersebut menyaksikan Masato Yoshiie dilantik sebagai presiden dan ketua pegawai eksekutif (CEO), menggantikan Shunji Yoshikai yang sebelum ini memimpin syarikat dengan penuh dedikasi. 

 

"Yoshiie, yang memiliki pengalaman luas merangkumi operasi global Canon, membuktikan kewibawaannya dalam memacu kejayaan pengembangan perniagaan dan pelancaran produk. 

 

"Pemahamannya yang mendalam tentang pasaran Asia serta wawasan berteraskan pelanggan menjadikan beliau aset tidak ternilai untuk memimpin Canon dalam mengorak langkah seterusnya di Malaysia," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Sementara itu, Edward Chang dinaikkan pangkat sebagai ketua bahagian perniagaan komunikasi imej (ICB), menggantikan Hunter Zhang. 

 

Didorong semangat yang tidak berbelah bagi terhadap seni penceritaan berasaskan visual, beliau kini memikul tanggungjawab bukan sahaja memimpin tetapi juga merevolusikan keterlibatan Canon dengan pelanggan Malaysia, memanfaatkan kuasa pengimejan menerusi fotografi dan videografi bagi menjalin hubungan berkekalan. 

 

 

canon
Edward Chang

 

 

"Jeffrey Kung pula menggantikan tempat Masato Yoshiie sebelum ini sebagai ketua bahagian rumusan pengimejan perniagaan (BIS).

 

"Beliau membawakan kepakarannya yang meluas untuk membimbing pelanggan dalam mengharungi selok-belok pendigitalan dan kerja hibrid menggunakan solusi berinovatif BIS," menurut kenyataan itu.

 

Katanya, dengan ilmu pengetahuan yang mendalam dan kepintaran strategiknya, Jeffrey bersedia untuk memainkan peranan penting dalam mengemudi perniagaan BIS Canon ke arah pertumbuhan yang mampan. 

 

 

canon
Jeffrey Kung

 

 

"Keupayaan beliau yang melangkaui ruang lingkup perusahaan kecil dan sederhana (PKS), korporat, dan perniagaan, meletakkan Canon dalam kedudukan yang strategik untuk menangani keperluan perniagaan yang serba dinamik dalam landskap yang pesat berkembang," katanya.

 

Yoshiie berkata, beliau bersedia untuk memimpin dengan wawasan yang mengharmonikan prinsip, memupuk persekitaran tempat kerja yang mana setiap tindakan yang diambil dapat menggembirakan hati pelanggan dan menyumbang kepada kebaikan sejagat. 

 

“Saya mengalu-alukan Edward Chang dan Jeffrey Kung ke jawatan kepimpinan baharu mereka. Kepakaran dan pengalaman mereka adalah sangat berharga dalam usaha kami untuk terus mengembangkan perniagaan dan mengukuhkan kedudukan kami dalam pasaran Malaysia," katanya. - DagangNews.com