MASB buat pindaan ke atas kontrak insurans MFRS 17  | DagangNews Skip to main content

MASB buat pindaan ke atas kontrak insurans MFRS 17 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 30 Dis -  Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia (MASB) membuat sedikit pindaan kepada Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 17 untuk kontrak insurans, berkuat kuasa untuk tempoh pelaporan tahunan bermula pada atau selepas 1 Januari 2023. 

 

Menurut MASB, pindaan itu merupakan 'perkataan demi perkataan aplikasi awal Piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa (IFRS) 17 - Maklumat Perbandingan (Pindaan kepada Kontrak Insurans IFRS 17) yang dikeluarkan oleh Lembaga Piawaian Perakaunan Antarabangsa (IASB).” 

 

“Pindaan itu berkaitan dengan keperluan peralihan MFRS 17 sahaja dan tidak menjejaskan sebarang keperluan lain piawaian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini

 

 

MASB berkata terdapat “keperluan peralihan yang berbeza” dalam MFRS 17 dan Instrumen Kewangan MFRS 9, berikutan  MFRS 9 berkuat kuasa pada 1 Januari 2018 manakala MFRS 17 -- termasuk sedikit pindaan ini -- akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2023. 

 

Katanya keperluan peralihan yang berbeza boleh menyebabkan ketidakpadanan perakaunan sementara antara aset kewangan dan liabiliti kontrak insurans dalam maklumat perbandingan yang dibentangkan dalam aplikasi awal MFRS 17 dan MFRS 9. 

 

“Pindaan itu akan membantu penanggung insurans untuk mengelak  ketidakpadanan perakaunan sementara ini dengan memberikan pilihan kepada penanggung insurans untuk pembentangan maklumat perbandingan mengenai aset kewangan walaupun keperluan klasifikasi dan pengukuran MFRS 9 telah digunakan untuk aset kewangan tersebut,” katanya.   

 

MASB telah ditubuhkan di bawah Akta Pelaporan Kewangan 1997 (Akta) sebagai badan penetapan piawai Yayasan Pelaporan Kewangan (FRF) yang mana fungsinya ialah penentuan dan pengeluaran piawaian perakaunan untuk penyediaan penyata kewangan, yang perlu disediakan atau diserah simpan di bawah mana-mana undang-undang yang ditadbir oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bank Negara Malaysia atau Pendaftar Syarikat. 

 

MASB, bersama-sama dengan FRF membentuk rangka kerja untuk pelaporan kewangan di Malaysia. 

 

Rangka kerja ini terdiri daripada struktur penetapan standard bebas dengan perwakilan daripada semua pihak yang berkaitan dalam proses penetapan standard, termasuk penyedia, pengguna, pengawal selia dan profesion perakaunan.

 

Misi MASB adalah untuk membangunkan dan mempromosikan piawaian perakaunan dan pelaporan kewangan berkualiti tinggi yang konsisten dengan amalan terbaik antarabangsa untuk manfaat pengguna, penyedia, juruaudit dan orang ramai di Malaysia. -DagangNews.com