NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 29 Nov - Masih ada segelintir masyarakat lebih cenderung untuk menggunakan bahasa rojak dalam kehidupan seharian mereka tanpa menghiraukan kepentingan memelihara Bahasa Melayu.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, usaha memelihara Bahasa Melayu merupakan tanggungjawab bersama semua pihak termasuk kerajaan, swasta dan masyarakat.
"Penganjuran Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) menunjukkan kepada kita ada kalangan peserta yang Bahasa Melayu bukanlah bahasa asal mereka namun mereka fasih bertutur bahasa kita.
"Ini menjadi peringatan buat kita semua yang juga penutur asal Bahasa Melayu, kitalah yang sepatutnya mendukung bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan kita.
"Hari ini terbukti bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa yang turut dituturkan bangsa lain di peringkat antarabangsa.
"Kita tidak boleh melepaskan tanggungjawab untuk memelihara Bahasa Melayu ini kepada kerajaan saja. Usaha membudayakan Bahasa Melayu perlu bermula di peringkat awal lagi khususnya di rumah dan juga institusi ilmu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada malam kemuncak Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2021 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini, malam ini.
Majlis perasmian disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selain dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.
PABM 2021 mengumpulkan seramai 78 peserta dari 36 negara yang bertanding dalam tiga kategori iaitu pelajar antarabangsa, alam melayu dan pelajar antarabangsa yang telah menetap di Malaysia.
Seramai sembilan finalis berentap di malam kemuncak dalam tiga kategori itu yang disiarkan secara langsung di TV1,Radio Televisyen Malaysia (RTM).-Dagangnews.com