Saham Master Tec dibuka tidak berubah pada penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Saham Master Tec dibuka tidak berubah pada penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 29 Jan - Master Tec Group Berhad dibuka tidak berubah pada 39 sen sesaham semasa penampilan sulung pengeluar wayar dan kabel itu di Pasaran Ace Bursa Malaysia hari ini.

 

Master Tec disenaraikan di bawah nama saham "MTEC" dengan kod saham "0295".

 

Melalui tawaran awam permulaan (IPO) tersebut, Master Tec berjaya mengumpul sebanyak RM61.66 juta.

 

Peruntukan dana ini adalah seperti berikut, RM16.78 juta untuk membina dua kilang pembuatan kabel kuasa voltan sederhana (MV) di Melaka, RM24.38 juta lagi bagi membeli mesin dan peralatan, RM16.29 juta untuk tujuan modal kerja manakala RM4.2 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan penyenaraian.

 

Sementara itu, Master Tec berkata, penyenaraian ini menandakan perancangan untuk membina dua lagi kilang pengeluaran di Alor Gajah, Melaka kini semakin hampir dilaksanakan.

 

"Kilang-kilang ini kelak membolehkan Master Tec memasarkan produk baharu kepada industri pengeluaran berteraskan modal yang memerlukan transmisi elektrik dengan voltan lebih tinggi," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Terdahulu berlangsung majlis pelancaran saham Master Tec di Pasaran ACE di Bursa Malaysia yang turut dihadiri Pengerusi Master Tec, Datuk Saleh Mohd Dom, Pengarah Urusan Master Tec, Datuk Lau Kim San dan Ketua Pegawai Eksekutif Master Tec, Tee Kok Hwa.

 

Kim San pula berkata, beliau cukup optimistik mengenai prospek syarikat bagi tempoh kira-kira tiga tahun akan datang didorong oleh permintaan yang kukuh untuk wayar dan kabel daripada pelbagai sektor.

 

Kata beliau, selain syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Sarawak Energy Berhad dan Sabah Electricity Sdn Bhd, pihaknya juga menjangkakan menerima permintaan lebih kukuh antaranya daripada industri pembinaan, hartanah, minyak dan gas serta kenderaan elektrik.

 

"Sebagai pembekal kabel dan wayar, kami sentiasa mengambil kira peluang daripada pelbagai projek infrastruktur dan tenaga boleh diperbaharui yang akan dilaksanakan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan kemudahan pembuatan baharu di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

 

"Kami percaya mampu menyesuaikan diri dengan cepat kepada perubahan pasaran dan membangunkan produk baharu untuk meluaskan jangkauan kami ke dalam segmen pasaran baharu.

 

"Kapasiti pengeluaran kami yang diperluaskan mampu menghasilkan sehingga 3,600 tan kabel kuasa MV setahun. Pelan pengembangan strategik ini akan membolehkan kami memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat dan memenuhi pesanan yang lebih besar daripada pelbagai segmen pasaran," katanya.

 

Pada rehat tengah hari, saham Master Tec susut 0.5 sen kepada 38.5 sen dengan 90.45 juta saham didagangkan.- DagangNews.com