KUALA LUMPUR 21 Jun – Masteron, sebuah nama yang sinonim dengan projek perumahan yang berkualiti tinggi dan dengan harga mampu-milik di dalam kawasan perbandaran Puchong yang berkembang pesat, melancarkan KR7 Residences, sebuah projek pangsapuri servis terbaharu di Taman Mas Puchong.
Projek perumahan ini merupakan siri ikonik Masteron “Koi” yang ketujuh, berikutan kejayaan siri-siri sebelum ini, termasuk Koi Kinrara, Koi Tropika, Koi Boulevard, Koi Legian, Koi Prima dan Koi Suites.
Dengan Nilai Pembangunan Kasar berjumlah RM208 juta, KR7 merupakan projek perumahan serba lengkap dan berketumpatan rendah dengan jumlah keseluruhan 484 unit yang tersedia di dua blok, dengan lapan hingga sepuluh unit sahaja pada setiap aras dan menampilkan susun atur dua dan tiga bilik tidur.
Fasa pertama (Menara A), dijangka siap pada tahun 2025. Harga seunit KR7 bermula pada RM373,500 dan Masteron telah mengumumkan bahawa mereka akan turut menyerap yuran guaman perjanjian jual beli (SPA).
KR7 telah dilancarkan di Galeri Jualan Masteron di Koi Prima, Puchong. Majlis tersebut dihadiri oleh Dato’ Choy Wai Hin, Pengarah Eksekutif Masteron Group of Companies serta Choy Kin Mann, Pengarah Masteron Group of Companies.
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran para tetamu korporat, agen dan wakil rakan niaga serta ahli-ahli media, yang telah dibawa melawat ke rumah contoh seperti mana yang bakal menantikan para residen KR7 kelak, dan juga disajikan dengan hidangan eksklusif yang disediakan oleh cef selebriti, Dato’ Fazley Yaakob.
“KR7 telah bersedia untuk menjadi projek perumahan dengan kelainan yang dapat memenuhi keperluan hari ini yang sentiasa berubah daripada para penghuni bandar moden, terutamanya di kalangan generasi muda. Ia merupakan sebahagian daripada pendekatan berwawasan kami dalam menghasilkan rekaan dan fungsi.
"Di samping itu, seperti mana yang diketahui umum, setiap takrifan ‘kediaman’, telah berubah dengan drastik sepanjang dua tahun lepas, disebabkan oleh pandemik, sekatan pergerakan dan keadaan hidup yang telah terhasil yang mana elemen-elemen ini turut diambil kira di dalam pembangunan KR7,” kata Choy Kin Mann.
Antara kemudahan yang disediakan adalah seperti ruang bekerja, bersenam dan bersosial yang merangkumi gimnasium, panggung terbuka, taman permainan kanak-kanak, kolam renang, bilik stim serta sauna, pod kediaman dan ruang makan persendirian.
Untuk memastikan kualiti yang terbaik bagi ruang dalaman dan ruang awam KR7, Masteron telah bekerjasama dengan firma kelengkapan dalaman yang terkemuka, Federal International Holdings Berhad (FIHB), yang mempamerkan rekod yang cemerlang dalam rekaannya bagi hotel-hotel mewah seperti Ritz Carlton dan St. Regis.
Walaupun dengan harga mampu milik, setiap unit KR7 bakal dilengkapi dengan ciri-ciri yang menarik, yang lazimnya hanya terdapat di kediaman mewah. Antara ciri-ciri tersebut adalah sistem rumah pintar, dengan kawalan wayarles yang membolehkan para penghuni mengawal lampu siling, TV, kipas dan pendingin hawa dari jauh, menggunakan telefon pintar.
Dengan tawaran harga berpatutan tersebut, Masteron turut melabur dalam sistem keselamatan dengan teknologi terkini, tanpa menggunakan kunci tradisional; satu gabungan sistem kunci pintar dengan ciri keselamatan yang dipertingkatkan seperti akses cap jari. KR7 juga dilengkapi dengan sistem penghantaran makanan tanpa kontak, dan juga Shield System, sebuah sistem yang boleh mengubah dewan serbaguna kepada bilik-bilik berasingan pada masa yang diperlukan.
Sementara itu, semua unit KR7 akan diserahkan kepada para pemilik dengan separa berperabot, dilengkapi dengan almari pakaian, kabinet dapur dengan tunku dan penyedut asap, pendingin hawa dan pemanas air yang bernilai sehingga RM25,000.
Menurut Dato’ Choy Wai Hin, ini merupakan sebahagian daripada komitmen jangka panjang Masteron kepada para pembeli rumah pertama dan keluarga muda yang sedang mencari kediaman yang berkualiti tinggi. – DagangNews.com