ANWAR IBRAHIM punya sejarah panjang; selain ahli politik, beliau dikenali sebagai seorang aktivis, intelektual awam (public intelectual) atau pemikir ummat (rausyanfikir).
Anda boleh sahaja tidak bersetuju dengan beliau seperti saya juga banyak tidak sependapat dengan sosok ini. Namun ketokohannya sukar kita nafikan, baik dari sudut intelektualnya, idealisme politiknya dan aktivismenya.
Anwar seorang pemikir yang tekun. Selain pembacaan yang luas, beliau kuat dipengaruhi oleh beberapa pemikir antarabangsa termasuklah Syed Naquib Al-Attas (SNA) yang pertama kali mewacanakan perkataan “Madani”.
Konsep Madani SNA sarat dengan falsafah. Beliau merujuk sebuah masyarakat bertamadun yang menjadikan Madinah sebagai contoh, dengan penekanan bahawa maksud tamadun Islam berbeza dengan tamadun barat yang sekular, dan bagaimana konsep ketamadunan ini harus dipraktiskan pada masyarakat muslim khususnya Malaysia.
Madani pada Al-Attas merupakan jawapan kepada idea “Masyarakat Sivil” dalam Peradaban Barat yang dipelopori oleh Harvey Cox melalui karya The Secular City.
SNA bukan orang pertama mengemukakan falsafah peradaban Islam. Ibn Khaldun pernah mengemukakan dengan pendekatan yang lebih machevelllian. Al-Farabi juga mengimpikan al-Madinah al-Fadilah.
Anwar begitu kuat terpengaruh dengan SNA. Pernah sekali beliau menyatakan ketidakselesaan terhadap istilah “Nusantara” yang bagi beliau agak sarat dengan pengaruh Hindu.
Bagi beliau, istilah “Madani” adalah lebih sesuai. Saya sendiri secara peribadi banyak tidak sependapat dengan gagasan idea Madani, apatah lagi dari SNA.
Bila Anwar meluncurkan idea MADANI ini, saya teliti apa yang cuba dilakukan oleh beliau ialah menterjemahkan idea Al-Attas ke dalam bentuk polisi konkrit. Ini bukan percubaan pertama beliau. Pada 1988, Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang digubal sarat dengan idea Al-Attas.
Tapi kali ini MADANI Anwar Ibrahim lebih komprehensif, kekinian (kontemporari) dan ada perubahan dalam bentuk penterjemahan dan diselitkan beberapa idea beliau sendiri.
Malaysia MADANI ini merupakan framework beliau sendiri, setelah merespon pada pengalaman politik peribadi (dipenjara) dan suasana politik semasa termasuk pasca-pandemik, kemerosotan ekonomi negara dan global serta masalah perubahan iklim (climate change).
Selain itu, perlu kita faham bahawa MADANI Anwar bukan sebuah bentuk perdebatan falsafah. Jadi cubaan sesetengah ahli jargon untuk memperdebatkannya secara filosofikal sangat membuang keringat.
MADANI Anwar berbentuk kerangka idealisme untuk membentuk polisi, atau framework. Maknanya semua polisi negara mesti berteraskan idea MADANI. Apa kerangka itu? Bacalah sendiri bukunya. Saya tak berminat untuk mengulas panjang.
Sebagai orang dalam bidang Sains Sosial, saya lebih minat melihat kenapa Anwar melancarkan idea ini. Pada hemat saya, pelancaran idea ini diperlukan untuk membentuk masyarakat yang sederhana dan toleran di Malaysia.
Masyarakat Muslim dan bukan Muslim perlu ada kefahaman bersama secara sivik, bertamadun dan harmoni. Sebab dalam 10 tahun kebelakang, masyarakat di Malaysia sangat berpecah-belah akibat demagog politik rancak memainkan sentimen, meniup bara fitnah dan prasangka jahat yang tidak bersandarkan hujah dan fakta demi serakah politik.
MADANI Anwar diharapkan bukanlah untuk bertanding siapa lebih Islamik. Diharapkan pihak pembangkang juga menghentikan retorik yang tiada guna ini. Sebaliknya kita fokus pada intipati dan keseimbangan hidup berbilang kaum.
Kerangka MADANI ini juga untuk merespon isu-isu berbangkit dengan pendekatan sederhana, baik isu perkauman, ekonomi rakyat dan perubahan iklim.
Dalam ucapan peluncurannya, Anwar berikrar untuk mengubah polisi negara yang terlalu tertumpu cara fikir kapitalis kepada polisi pro-rakyat. Anwar sebenarnya mencabar elit kapitalis dengan menggunakan gelombang rakyat. Apakah rakyat mahu sokong untuk perubahan ini? Entahlah.
Lebih mencabar sebenarnya untuk Anwar adalah mengimbangkan retorik dan perdebatan ilmiah sekitar konsep MADANI ini dengan penggubalan polisi konkrit. MADANI beliau tidak boleh menjadi sebuah konsep yang terapung-apung dalam mimpi basah falsafah sahaja.
Tidak boleh seperti perdebatan Madani Al-Attas atau Madinah Al-Fadilah Al-Farabi. Hal ini biarlah orang intelektual dan akademia perdebatkan jika mereka berminat.
MADANI tidaklah perlu diterangkan dengan wacana demi wacana kepada rakyat, seminar demi seminar semacam Islam Hadhari dan Islam Rahmatan lil ‘Alamin dahulu. Tidak perlu juga diulang cakap atas di atas pentas seperti 1 Malaysia atau Keluarga Malaysia sebelum ini. Memualkan dan memenatkan.
Jauh dari itu, MADANI Anwar ini harus direspon dengan pembentukan polisi negara di setiap kementerian.
Polisi ekonomi madani perlu menjawab persoalan bagaimana menangani kenaikan harga barang, pendapatan rakyat, peluang pekerjaan, inflasi dan kenaikan OPR.
Polisi pendidikan madani wajib menangani isu keterciciran dan kekeliruan modul pendidikan. Polisi pertahanan dan dasar luar mesti merombak kembali proses perolehan senjata, kebajikan aparat keselamatan seperti polis dan tentera, diplomasi dengan China dan Amerika, dan negara timur tengah, negara ASEAN terutamanya Myanmar yang menatijahkan masalah pelarian ke negara jiran dan sebagainya. - DagangNews.com