Mata wang MIST dijangka mengukuh hingga 5% berbanding dolar AS | DagangNews Skip to main content

Mata wang MIST dijangka mengukuh hingga 5% berbanding dolar AS

Mata wang MIST

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Prestasi mata wang Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand (MIST) dijangka mencatatkan pengukuhan sebanyak 4% hingga 5% menjelang 2021 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

CGS-CIMB Research berkata, perkara itu didorong oleh perbezaan pertumbuhan, inflasi dan perbezaan imbangan pembayaran.

 

"Penyertaan tidak bermastautin dalam pasaran modal MIST mula berlaku dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini susulan perkembangan positif berkaitan vaksin COVID-19.

 

"Aliran masuk modal yang kuat boleh menyebabkan lonjakan sementara dalam mata wang MIST.

 

"Secara amnya kami menjangkakan kadar pertukaran purata tahunan mata wang MIST lebih mengukuh sebanyak 4% hingga 5% pada tahun 2021 berbanding dolar AS," jelas CGS-CIMB Research dalam nota kajiannya hari ini.

 

Dalam pada itu, CGS-CIMB Research memberitahu, peningkatan dalam harga komoditi yang didorong oleh kenaikan permintaan global meningkatkan syarat perdagangan untuk ekonomi pengeksport komoditi seperti minyak sawit dan O&G di Malaysia, Indonesia (minyak sawit, arang batu, logam dan gas), dan Thailand (pertanian).

 

Di antara ketiga-tiga negara tersebut, Malaysia mempunyai pendedahan yang tinggi terhadap eksport bersih komoditi sebagai sebahagian daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.3%.

 

Jumlah itu diikuti oleh Indonesia dengan peratusan sebanyak 1.7%, sementara Thailand pula sebanyak -2.1%.

 

Pertambahan kos dan kenaikan permintaan yang tinggi akan menjadi pemacu bagi menaikkan ekonomi dari deflasi dalam tahun 2020 ke inflasi sederhana 2021.

 

Harga makanan dan tenaga menyumbang sebanyak 23% hingga 48% dalam Indeks Harga Pengguna (IHP) di MIST yang mana Thailand mencatatkan peratusan tertinggi, diikuti oleh Malaysia, Indonesia dan Singapura. - DagangNews.com