KUALA LUMPUR 6 Dis - Pengeluar kereta mainan Hot Wheels, Mattel Inc mengumumkan kerjasama dengan pengeluar kereta nasional, Proton bagi mengeluarkan model skala 1:64 kereta nasional pertama negara, Proton Saga.
Presiden dan Ketua Pegawai Komersial Mattel Inc, Steve Totzke berkata, model baharu Hot Wheels itu dijangka mula dijual di seluruh dunia menjelang akhir 2023.
Beliau berkata, kerjasama itu sempena memperingati ulang tahun ke-40 syarikat itu di Malaysia.
“Perkongsian ini tepat pada masanya dan ini bermakna melambangkan legasi membanggakan kedua-dua jenama di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, sempena ulang tahun tersebut, Mattel Malaysia Sdn. Bhd. (MMSB) mengumumkan pembesaran kilangnya yang dijangka siap pada Januari 2023.
Kilang pembuatan Hot Wheels terbesar di dunia, MMSB juga merupakan satu-satunya pengeluar Hot Wheels di dunia, menjual mainan secara global pada tahun 2021.
Kilang itu mempunyai kapasiti pengeluaran purata semasa kira-kira 9 juta kereta setiap minggu.
Pelaburan strategik yang disasarkan ini adalah selaras dengan strategi Capital Light Mattel untuk meningkatkan kapasiti pembuatan, meningkatkan produktiviti, dan memanfaatkan keupayaan teknologi, sambil mengurangkan kos dan meningkatkan kecekapan operasi.
Pengembangan kilang itu akan menyokong pertumbuhan Hot Wheels dengan jangkaan peningkatan 20% dalam kapasiti pengeluaran menjelang 2025.
Pengurus Besar MMSB, Ching Chiau Lee berkata, sepanjang 40 tahun lalu, mereka berjaya membangunkan ekosistem yang berkembang maju untuk industri tempatan di Zon Perindustrian Bebas Perai merentasi industri seperti pembungkusan, cat, bekalan bahan dan reka bentuk mesin.
"MMSB memainkan peranan penting dalam operasi rantaian bekalan global kami, menyediakan jejak strategik di rantau ini dan menyokong strategi transformasi untuk pertumbuhan sebagai syarikat mainan berprestasi tinggi dipacu IP.
"Kami teruja untuk masa depan kerana kami terus menunjukkan kemajuan dalam sektor pembuatan Malaysia yang dipacu teknologi," katanya. - DagangNews.com