Mavcom semak semula unjuran trafik, menguncup sehingga 29% | DagangNews Skip to main content

Mavcom semak semula unjuran trafik, menguncup sehingga 29%

 

 

KUALA LUMPUR 28 April - Trafik penumpang dijangka menguncup antara 22.9% dan 29.1% tahun ke tahun, melibatkan 18.9 hingga 20.6 juta penumpang, menurut Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

 

Ini berdasarkan kepada statistik yang menunjukkan hanya hanya 1.7 juta penumpang menggunakan perkhidmatan udara bagi suku pertama tahun ini, penurunan sehingga 91.1% tahun ke tahun daripada 19.1 juta penumpang bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Keadaan ini secara tidak langsung mencerminkan jumlah trafik penumpang yang rendah sepanjang tahun. 

 

Malah, Mavcom mendapati keperluan perjalanan udara turut terjejas akibat pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) dan sekatan perjalanan yang dijangkakan berkuatkuasa sepanjang 2021. 

 

Selain itu, unjuran Mavcom dalam ulasan mengenai trafik penumpang udara Malaysia bagi 2021 juga mempertimbangkan faktor beban dan kapasiti tempat duduk untuk tahun ini.

 

Dalam edisi Disember 2020 laporan industri, Waypoint, Mavcom meramalkan trafik penumpang udara tahun ini akan pulih antara 94.2% dan 100.3% tahun ke tahun bersamaan dengan 51.7 hingga 53.3 juta penumpang. 

 

Unjuran ini dibuat susulan daripada pemulihan sektor penerbangan secara beransur-ansur akibat sekatan perjalanan antarabangsa yang dijangka dilonggarkan pada 2021.

 

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, dengan mengambil kira cabaran yang dihadapi oleh industri penerbangan, Mavcom telah menyemak semula ramalan trafik penumpang dan menjangkakan terdapat penurunan tahun ini. 

 

Katanya, faktor-faktor seperti jangka masa pelaksaanaan pemvaksinan, langkah-langkah kesihatan awam yang lebih ketat atau dilonggarkan serta pembukaan semula sempadan udara antarabangsa yang selamat dan perubahan permintaan untuk perjalanan udara akan terus mempengaruhi kepantasan pemulihan sektor ini.

 

"Sehubungan itu, Mavcom akan terus memantau dan menilai perkembangan semasa industri penerbangan pada tahun ini dengan teliti. 

 

"Suruhanjaya tetap akan berusaha untuk mengurangkan impak pandemik COVID-19 dengan menyokong pemulihan sektor penerbangan negara kembali ke tahap pra pandemik," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Memandangkan pasaran domestik menyumbang sebahagian besar daripada sektor penerbangan untuk separuh kedua 2021, Mavcom juga menjangkakan ia akan terus menjadi pemacu utama dalam menghidupkan semula industri penerbangan. 

 

Ini termasuk dengan pandangan bahawa gelembung perjalanan antara negeri-negeri PKP dan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) masih dibenarkan. 

 

"Industri penerbangan dijangka terus menghadapi kesan pandemik COVID-19 dengan ketidakpastian mengancam pemulihan.

 

"Dalam masa sama, kelalaian mematuhi langkah-langkah kesihatan awam juga boleh meningkat seiring dengan usaha pemvaksinan yang menyebabkan gelombang jangkitan baharu dan mengakibatkan pemulihan industri lebih lambat lagi," tambahnya. 

 

Malaysia kini sedang mengkaji pelaksanaan pas kesihatan digital yang diiktiraf di peringkat antarabangsa seperti Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA). 

 

Pas tersebut boleh memaklumkan kepada penumpang mengenai vaksin, ujian kesihatan dan langkah-langkah lain yang perlu diperhatikan sebelum melakukan perjalanan. - DagangNews.com