Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 25 Okt. - Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menerima 157 aduan berkaitan syarikat penerbangan dan lapangan daripada pengguna dengan aduan tertinggi diterima terhadap AirAsia.
Menurut Laporan Pengguna MAVCOM, daripada 157 aduan tersebut, 98.1% aduan yang diterima melibatkan aduan terhadap syarikat penerbangan dan 1.9% selebihnya pula berkaitan dengan lapangan terbang.
Katanya, aduan terhadap AirAsia mewakili 41.4% daripada jumlah aduan keseluruhan yang difailkan dengan Suruhanjaya, diikuti dengan Malaysia Airlines dengan 28.7% dan Malindo Air dengan 12.1%.
"Laporan tersebut juga mencatatkan pengurangan jumlah aduan terhadap kesemua syarikat penerbangan kecuali Firefly Airlines, yang setara dengan penurunan jumlah penumpang udara yang dibawa bagi semua syarikat penerbangan.
"60.1% daripada aduan yang diterima, syarikat penerbangan telah mengubah keputusan asal mereka dengan memberikan penyelesaian yang lebih memuaskan atau adil kepada pengguna. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 2.3% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2020," katanya dalam Laporan Hak Trafik Udara (ATR) yang dikeluarkan hari ini.
Laporan ATR itu turut merangkumi tinjauan Mavcom dari tempoh 1 Julai hingga 30 September 2021 serta Laporan Pengguna dwitahunan yang kesepuluh bagi separuh tahun pertama 2021.
Dalam pada itu, Mavcom berkata, pihaknya telah meluluskan kesemua 21 permohonan ATR yang diterima pada suku ketiga tahun 2021.
Ujarnya, jumlah permohonan tersebut menunjukkan peningkatan permohonan ATR sebanyak 110% berbanding kadar permohonan suku kedua tahun 2021.
"Suruhanjaya juga telah meluluskan sebanyak 14 ATR bagi destinasi antarabangsa dan 7 ATR bagi laluan domestik.
"MyJet Xpress Sdn. Bhd. dan World Cargo Airline Sdn. Bhd. telah menerima jumlah kelulusan permohonan tertinggi dengan 5 ATR bagi setiap syarikat, diikuti dengan AirAsia X Berhad yang menerima 4 ATR dan MAB Kargo Sdn. Bhd. dengan 3 ATR, serta Malaysia Airlines Berhad dan AirAsia Group Berhad dengan peruntukan 2 ATR masing-masing.
"Dari kesemua permohonan ATR tersebut, 18 permohonan peruntukan ATR adalah dari sektor kargo, yang menunjukkan pertumbuhan yang sihat bagi sektor kargo," katanya. -DagangNews.com