Maxis, AIS dan Singtel bekerjasama tangani scam digital di Malaysia, Thailand dan Singapura | DagangNews Skip to main content

Maxis, AIS dan Singtel bekerjasama tangani scam digital di Malaysia, Thailand dan Singapura

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng
Oleh Syaza Norazharuddin

KUALA LUMPUR 26 Julai - Maxis memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama syarikat telekomunikasi Thailand, AIS dan Singtel milik Singapura untuk menangani scam digital melalui pengesahan identiti didaftarkan di perkhidmatan atau platform pengguna berdasarkan data telekomunikasi dan rangkaian pelanggan mudah alih. 

 

Penyelesaian itu berasaskan Aplikasi Pengaturcaraan Antara Muka (API), rangka kerja standard piawaian industri dan protokol inisiatif Gerbang Terbuka (GSMA).

 

Kerjasama itu merupakan penubuhan persekutuan API Telekomunikasi antarabangsa pertama di dunia, melibatkan penyedia telekomunikasi dari tiga negara yang bekerjasama untuk membantu perusahaan-perusahaan mengakses data rangkaian telekomunikasi untuk memperkuatkan pengesahan dan memerangi scam. 

 

Menurut laporan oleh LexisNexis Risk Solution, kadar scam keseluruhan dalam aplikasi mudah alih di Asia Pasifik adalah lebih tinggi daripada purata global, dengan majoriti serangan itu dijalankan oleh bot automatik menyasarkan transaksi pembayaran e-dagang.

 

Maxis turut berkata kerjasama itu akan menyokong lebih 12 juta pelanggan di Malaysia dan 45 juta pelanggan di Thailand.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng berkata kerjasama itu mengukuhkan lagi keselamatan pelanggan dalam landskap ancaman yang sentiasa berubah. 

 

Selain itu, Ketua Jabatan Produk Teknologi Telekom Perusahaan AIS, Asnee Wipatawate menjelaskan kerjasama itu menunjukkan komitmen syarikat itu bagi melindungi pelanggannya dan ekosistem digital.


 
“Dengan menggabungkan kepakaran dan sumber kami dengan Singtel dan Maxis, kami akan menciptakan platform yang meningkatkan kepercayaan dan keselamatan perniagaan dan pengguna merentasi negara Thailand, Malaysia dan Singapura,"ujar beliau.   

 

Di samping itu, Ketua Pegawai Eksekutif Singtel Singapore, Ng Tian Chong menegaskan peningkatan e-dagang telah membuka lebih banyak peluang serangan scam digital di Thailand, Malaysia dan Singapura.

 

"Dengan memanfaatkan data telekomunikasi dan kepakaran kolektif kami, kami akan dapat mengesahkan, melindungi dan mengurangkan scam kewangan secara lancar supaya pelanggan kami di Singapura, Thailand dan Malaysia boleh menikmati gaya hidup digital," ulasnya.  

 

Di samping itu, dua gerbang API akan disepadukan oleh AIS dan Maxis buat pertama kalinya termasuk Number Verify iaitu aplikasi pengesahan identiti pelanggan.  - DagangNews.com