Maxis eKelas pupuk bakat STEM pelajar melalui Misi Jelajah Digital | DagangNews Skip to main content

Maxis eKelas pupuk bakat STEM pelajar melalui Misi Jelajah Digital

Misi Jelajah Digital 2023 Maxis eKelas menutup tirai dengan mencatatkan jumlah sebanyak 850 penyertaan dari 89 sekolah di seluruh negara.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Jan - Cabaran pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) tahunan Maxis eKelas, Misi Jelajah Digital 2023 (MJD) menutup tirai dengan mencatatkan jumlah sebanyak 850 penyertaan dari 89 sekolah di seluruh negara, baru-baru ini.

 

Maxis berkata, pertandingan tersebut yang berlangsung dari Ogos hingga Disember tahun lepas mencabar pelajar untuk mereka bentuk permainan atau menghasilkan video animasi yang berasaskan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. 

 

Katanya, para pelajar dalam kumpulan 2 hingga 4 orang dibahagikan kepada kategori Tahap Dua SK, Menengah Rendah dan Menengah Atas, dan menghantar penyertaan mereka melalui portal Maxis eKelas.

 

"Peringkat akhir MJD yang berlangsung di Menara Maxis dihadiri 5 finalis terbaik dari setiap kategori. 

 

"Mereka terdiri daripada pelajar dan guru dari 15 sekolah di seluruh Sabah, Johor, Kedah, Perak, Selangor, dan Kuala Lumpur. Setiap finalis diberi peluang untuk membentangkan video animasi dan reka bentuk permainan mereka kepada panel hakim.

 

"Pemenang utama ialah pelajar dari SK Intan Perdana, Negeri Sembilan (kategori Tahap Dua SK), SMK Kwang Hua, Selangor (kategori Menengah Rendah), dan SMK Air Merah, Kedah (kategori Menengah Atas)," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Sementara itu, Pengarah Bahagian Sumber Dan Teknologi Pendidikan Kementerian Pendidikan, Zainal Abas berkata, mata pelajaran STEM adalah penting dalam memupuk pemikiran kritis dan kemahiran peyelesaian masalah dalam kalangan pelajar.

 

 

maxis

 

 

"Kementerian terus komited untuk memperkasa STEM dan pendidikan digital. Saya berharap semua peserta mendapat manfaat yang berharga daripada penglibatan mereka. Tahniah kepada semua pemenang," katanya.

 

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis, Mariam Bevi Batcha pula berkata, matlamat pihaknya bagi pertandingan MJD adalah untuk memberi peluang kepada pelajar untuk membangunkan asas yang kukuh dalam STEM.

 

"Kami sangat teruja dengan sambutan positif tahun ini. Ciptaan-ciptaan pelajar sangat kreatif dan inovatif, sambil menggunakan pengetahuan yang diperoleh di dalam bilik darjah untuk menangani cabaran dunia sebenar," katanya.

 

Tambah kenyataan itu, dengan lebih daripada 99,000 pengguna berdaftar di portalnya dan semakin bertambah, eKelas ialah satu inisiatif pembelajaran digital selepas sekolah untuk pelajar dari Darjah 4 hingga Tingkatan 5.

 

Katanya, eKelas memperkayakan pembelajaran dengan kaedah yang meriah dan menyeronokkan, dan menyediakan akses kepada kandungan pendidikan yang berkualiti selaras dengan sukatan pelajaran sekolah Malaysia. 

 

"eKelas turut menumpukan kepada mata pelajaran Sains, Matematik, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Sejarah, serta topik digital dan kemahiran insaniah. Selain pertandingan STEM, eKelas juga menganjurkan pertandingan bercerita tahunan dan menawarkan geran pelajar," katanya. - DagangNews.com