KUALA LUMPUR 13 Ogos - Maxis dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) mengumumkan kerjasama strategik menerusi Pusat Inovasi Bersama yang memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi 5G-Advanced.
Maxis berkata, pembangunan teknologi 5G-Advanced itu bertujuan untuk menerokai dan membangunkan penyelesaian inovatif bagi meningkatkan pengalaman pelanggan, kecekapan operasi, penggunaan pantas, kes penggunaan industri, dan membangunkan bakat tempatan untuk aktiviti perindustrian dan keusahawanan.
"Secara keseluruhannya, kerjasama ini bertujuan untuk memacu kemajuan teknologi dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam landskap global bidang telekomunikasi," ujar Maxis dalam kenyataan itu.
Menurut Maxis, kerjasama tersebut telah dimeterai melalui pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) yang diadakan di Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2024, anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang bertujuan untuk memacu ekosistem pengkomersialan negara.
Pertukaran MoU itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Menerusi MoU itu, Maxis dan Huawei akan meneroka inovasi dalam kapasiti gigabit menyokong pengembangan rangkaian mudah alih dan teknologi 5G/5G-Advanced seperti pengkomputeran pinggir mudah alih (mobile edge computing), penghirisan rangkaian (network slicing), orkestrasi rangkaian hujung ke hujung (end-to-end network orchestration), RedCap dan internet kebendaan (IoT) Pasif (Passive-IoT).
Selain itu, Maxis dan Huawei juga akan meneroka penggunaan pendigitalan, kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin (ML) untuk mengoptimumkan kecekapan pengendalian rangkaian.
Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng, berkata, Maxis merupakan syarikat pertama mempamerkan 5G-Advanced untuk orang ramai, bukan sahaja dalam negara tetapi juga serantau.
"Kerjasama berterusan dengan Huawei adalah salah satu daripada pelbagai langkah kami untuk menyokong cita-cita digital Malaysia.
"Dengan kerjasama terbaharu ini, kami ingin memanfaatkan sepenuhnya 5G-Advanced dengan meningkatkan modal insan di samping inovasi yang dikomersialkan untuk perusahaan dan industri.
"Sebagai syarikat telekomunikasi bersepadu terkemuka negara, kami menantikan evolusi kesalinghubungan masa depan dan faedah ekonomi yang akan dibawakan kepada negara kita,” ulas beliau.
Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Simon Sun pula yakin bahawa kerjasama itu akan membantu dalam mempercepatkan agenda transformasi digital negara dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai ibu negara Teknologi ASEAN.
"Ini adalah langkah berikut selepas Pembuktian Konsep Pulau Pintar pertama kami yang dikuasakan oleh 5.5G/5G Advanced di ASEAN yang telah berlangsung di Labuan,” ujarnya.- DagangNews.com