Maxis paling banyak dikenakan kompaun SKMM, RM3.3 juta | DagangNews Skip to main content

Maxis paling banyak dikenakan kompaun SKMM, RM3.3 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Mac - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengeluarkan sebanyak 77 kompaun berjumlah RM3.7 juta kepada pemegang-pemegang lesen dalam tempoh Januari hingga Mac 2021 di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

 

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 68 kompaun yang berjumlah RM3.3 juta telah dikeluarkan kepada syarikat telekomunikasi, Maxis Broadband Sdn. Bhd. (Maxis), kata SKMM. 

 

Ini menjadikan syarikat telekomunikasi itu penerima kompaun terbanyak pada suku pertama tahun ini.

 

“(Sebanyak) RM3.25 juta daripada jumlah RM3.3 juta kompaun yang dikenakan kepada Maxis adalah berkaitan kegagalan mematuhi rancangan penomboran dan pengalamatan elektronik dan selebihnya kerana ketidakpatuhan kepada Garis Panduan Prabayar bagi pendaftaran pengguna akhir.

 

“MCMC terus berusaha memastikan syarikat-syarikat telekomunikasi mengutamakan hak pengguna termasuk memastikan kebebasan pengguna untuk memilih perkhidmatan telekomunikasi yang dikehendaki mereka,” kata suruhanjaya itu dalam kenyataannya.

 

Tambah SKMM, tindakan itu selaras dengan Ikrar Mesra Pelanggan yang dimeterai oleh syarikat-syarikat telekomunikasi pada pertengahan Jun 2019, yang mengikat komitmen mereka untuk melaksanakan langkah penambahbaikan bagi memberikan pengalaman terbaik kepada pengguna. 

 

Kompoun SKMM

 

Sementara itu, SKMM turut mengenakan tujuh kompaun berjumlah RM350,000 kepada U Mobile Sdn. Bhd. atas ketidakpatuhan kepada Garis Panduan Prabayar bagi pendaftaran pengguna akhir. 

 

Selain itu, Sistem Televisyen Malaysia Berhad dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pula masing-masing dikenakan satu kompaun yang berjumlah RM40,000 dan RM20,000 kerana kegagalan mematuhi syarat-syarat lesen yang ditetapkan, jelas SKMM lagi. - DagangNews.com