Maxis tawarkan GPU sebagai-perkhidmatan, mudahkan peniaga berlatih kecerdasan buatan (AI) | DagangNews Skip to main content

Maxis tawarkan GPU sebagai-perkhidmatan, mudahkan peniaga berlatih kecerdasan buatan (AI)

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Maxis menawarkan unit pemprosesan grafik-sebagai-perkhidmatan (GPUaaS) berasaskan awan kepada pelanggan di Malaysia bagi memudahkan akses perniagaan kepada unit pemprosesan grafik (GPU) dalam menjalankan latihan kecerdasan buatan (AI) dan aplikasi inferens tersebut.  

 

Sebagai sebahagian daripada portfolio perkhidmatan terurus dan awan Maxis Business, GPUaaS merupakan kaedah kos efektif untuk pelanggan mempercepatkan kerja pemprosesan intensif seperti AI, pembelajaran mesin (ML) dan pembelajaran mendalam.

 

Maxis berkata, melalui GPUaaS yang dikuasakan oleh GPU NVIDIA H100 Tensor Core, Maxis merupakan antara syarikat telekomunikasi pertama di dunia yang menyediakan perkhidmatan dengan menggunakan NVIDIA GB200 Grace Blackwell Superchip.

 

"Dengan kuasa pengkomputeran berskala tersedia atas permintaan melalui GPUaaS, pelanggan boleh mempercepatkan pembangunan AI generative dalam perniagaannya supaya mereka boleh menumpukan lebih banyak masa dan sumber kepada aktiviti perniagaan teras mereka.

 

"Perkhidmatan tersebut memenuhi permintaan dalam kalangan pengguna awal merentas industri pembuatan, penjagaan kesihatan dan logistik.

 

"Pelanggan boleh mempercepatkan pertumbuhan dan inovasi dengan mengakses kluster GPU melalui sambungan tetap atau mudah alih 5G sedia ada," ujarnya. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng berkata, menerusi GPUaSS, perniagaan akan mempunyai fleksibiliti bagi menskalakan sumber mereka apabila diperlukan bagi menampung beban kerja kompleks seperti AI, pembelajaran mesin, pemodelan 3D dan analitik berskala besar.

 

"Kami akan terus memastikan pelanggan dapat memanfaatkan kesalinghubungan dan penyelesaian digital terbaik dengan lebih mudah supaya mereka boleh memberi tumpuan kepada mengembangkan perniagaan mereka," ulas beliau. 

 

Sementara itu, Singtel dan Bridge Alliance, perikatan mudah alih terkemuka yang terdiri daripada 35 ahli operator di seluruh dunia baru-baru ini mengumumkan perkongsian strategik yang mengembangkan GPUaaS Singtel kepada perusahaan di seluruh rantau ini. 

 

Melalui perkongsian itu, Maxis akan melengkapkan penyelesaian awan dan sambungannya yang meluas, membolehkan pelanggan untuk mendapat penyelesaian yang diperlukan bagi memenuhi keperluan organisasi mereka- DagangNews.com