Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 18 Mei - Malayan Banking Berhad (Maybank) diangkat sebagai contoh terbaik antara semua institusi perbankan di Malaysia dari segi pendekatan persekitaran, sosial dan pemerintahan (ESG).
Maybank yang dikatakan mempunyai pendekatan ESG menyeluruh, difahamkan mula melaksanakan inisiatif tersebut di seluruh rangkaian serantaunya di pelbagai negara, menurut CGS-CIMB Research.
Ramal penganalisis di firma itu, Winson Ng, langkah Maybank untuk mencapai pelaksanaan ESG lebih baik dapat memberi impak margin yang positif ke atas perolehan bank.
“Dalam pandangan kami, standard ESG Maybank yang lebih tinggi diterjemahkan menerusi (1) set Kriteria Penerimaan Risiko ESG, panduan yang mentadbir standard ESG kepada peminjamnya, ini dinyatakan dalam Laporan Kelestarian 2020.
“(2) Sejak 2019, Maybank mempunyai pasukan petugas khas (pasukan Scrum) untuk menasihati dan mengawasi kliennya berhubung hal-hal berkaitan ESG, terutamanya pelanggan dalam sektor yang mempunyai risiko ESG tinggi.
“... dan (3) menerusi rangkaian serantaunya, Maybank telah melaksanakan inisiatif ESG di pelbagai negara, meluaskan asas benefisiari,” jelas Ng dalam satu nota kajian bertarikh semalam.
Bagi tahun kewangan 2020 (FY20), Maybank telah memperuntukkan pembiayaan kira-kira RM3.45 bilion untuk menjana projek tenaga hijau.
Dalam pada itu, di bawah pelan strategik M25 pula, bank berkenaan berhasrat untuk mencapai pembiayaan mampan bernilai RM50 bilion, di mana termasuk pembiayaan hijau menjelang tahun 2025.
Menerusinya, pembiayaan mampan bakal merangkumi 7.8% daripada jumlah pinjaman Maybank menjelang tahun sama sekiranya semua itu berbentuk pinjaman, menurut jangkaan Ng.
Melangkah ke hadapan, Ng percaya Maybank akan berusaha untuk mengintegrasikan sepenuhnya penilaian ESG dalam semua proses membuat keputusan, termasuk pelaburan dan pengasalan pinjaman.
CGS-CIMB menyarankan untuk ‘tambah’ saham Maybank dengan harga sasaran (TP) dikekalkan pada kadar RM9.30 sesaham.
“Walaupun kami tidak merasakan langkah Maybank dalam mencapai standard ESG lebih baik adalah untuk meningkatkan perolehannya secara signifikan, namun standard ESG yang unggul akan meletakkan bank itu dalam kedudukan baik ketika pelabur membuat penilaian ESG,” tambah Winson.
Setakat 9.30 pagi, harga saham Maybank menokok 4 sen kepada RM8.34. - DagangNews.com