Maybank dijangka catat keuntungan bersih Q4 lebih rendah | DagangNews Skip to main content

Maybank dijangka catat keuntungan bersih Q4 lebih rendah

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Malayan Banking Berhad (Maybank) dijangka mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah menjelang suku keempat 2020 (4Q20) bernilai RM1.53 bilion. 

 

Ramalan itu dibuat oleh CGS-CIMB Research yang menyaksikan jangkaan kemerosotan sehingga 21.6% berbanding suku sebelumnya. 

 

“Ini berdasarkan ramalan penurunan suku ke suku dalam pendapatan pelaburan 4Q20 yang kami fikir rekod pendapatan pelaburan yang tinggi pada 3Q20 (+87.2% bandingan tahun ke tahun) tidak mampan. 

 

“Bagaimanapun, kami menjangkakan kadar penghapusan kredit (CCOR) yang lebih rendah sebanyak 33 mata asas (bp) pada 4Q20 berbanding 89 bp pada tempoh sembilan bulan pertama 2020 (9M20). 

 

“Ini berdasarkan ramalan CCOR FY20 sebanyak 74 bp berbanding 75 bp hingga 100 bp yang dipantau oleh Maybank, memandangkan bank itu mempunyai penimbal peruntukan yang kukuh pada 9M20,” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya. 

 

Keuntungan bersih utama pada 9M20 yang dicatatkan Maybank berada dalam jangkaan CGS-CIMB. 

 

Dalam masa sama, pengumuman dividen interim sesaham sebanyak 13.5 sen merupakan kejutan positif, kata CGS-CIMB.

 

Ini memandangkan kumpulan syarikat itu mendedahkan hasrat untuk mengkaji semula pembayaran dividen pada prestasi kewangan 4Q20 menjelang Februari 2021. 

 

Sehubungan itu, CGS-CIMB menyarankan untuk ‘pegang’ saham Maybank dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM8.07. 



“Walaupun terdapat jangkaan penurunan peruntukan kerugian pinjaman (LLP) pada 4Q20, namun kami mengekalkan saranan ‘pegang’ kerana kami mengambil kira pendapatan faedah bersih yang lemah disebabkan oleh penguncupan margin,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com