Maybank Flexible Retirement Solution, penyelesaian perancangan persaraan individu | DagangNews Skip to main content

Maybank Flexible Retirement Solution, penyelesaian perancangan persaraan individu

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Asset Management Group dan MAM Malaysia, Najib Nazlan (tengah) bersama Ketua Pegawai Pelaburan MAM Malaysia, Syhiful Zamri (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Asset Management Sdn. Bhd., Ahmed Muzni pada majlis pelancaran Maybank Flexible Retirement Solution secara maya hari ini.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Feb - Maybank Asset Management Sdn. Bhd. (MAM Malaysia) memperkenalkan Maybank Flexible Retirement Solution, penyelesaian persaraan yang bermatlamat sebagai tambahan kepada perancangan persaraan individu. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Asset Management Group dan MAM Malaysia, Najib Nazlan, berkata produk terbaharu ialah dua dana global patuh syariah iaitu Dana Maybank Global Wealth Moderate-I dan Dana Maybank Global Wealth Growth-I.

 

Beliau berkata, kelebihan yang ditawarkan MAM Malaysia adalah pelabur boleh memilih salah satu daripada dua dana aset campuran patuh syariah terbabit untuk persaraan mereka.

 

"COVID-19 memberi kesan negatif kepada kewangan sebilangan besar isi rumah kerana mereka terpaksa mengeluarkan simpanan persaraan untuk berhadapan dengan krisis ekonomi.

 

"Justeru, Maybank Flexible Retirement Solution menyediakan penyelesaian persaraan fleksibel patuh syariah yang pertama di pasaran untuk menambah dan mempelbagaikan perancangan persaraan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Najib berkata, Maybank Flexible Retirement Solution adalah satu pelaburan unik, kerana pelabur daripada pelbagai segmen boleh memilih tahap risiko yang diinginkan selain diberi kebebasan untuk menetapkan perancangan persaraan yang memenuhi keperluan masing-masing.

 

"Maybank Flexible Retirement Solution memberikan kebebasan kepada pelabur untuk memilih dan menukar antara dua dana berbeza, serta berkongsi kelas untuk memenuhi perubahan gaya hidup dan keperluan persaraan.

 

"Matlamat dana ini ialah mencapai pertumbuhan modal menerusi jangka sederhana dan jangka panjang dengan sasaran pulangan sebanyak 6 hingga 8% setahun.

 

"Ia menggabungkan peruntukan aset dinamik dan pengurusan risiko ke bawah, bertujuan memastikan kestabilan untuk pelabur yang menyimpan untuk pelaburan dalam tempoh jangka sederhana dan panjang," katanya.

 

Dana Maybank Global Wealth Moderate-I ditawarkan dalam dua kelas saham iaitu Pengumpulan Terlindung Nilai Ringgit dan Pengedaran Terlindung Nilai Ringgit, manakala Dana Maybank Global Wealth Growth-I ditawarkan dalam Kelas Pengumpulan Terlindung Nilai Ringgit.

 

Pelabur boleh membeli unit-unit Dana dengan pelaburan permulaan minimum sebanyak RM1,000 dan membuat pelaburan tambahan pada harga minimum RM100. - DagangNews.com