Maybank IB anggar kenaikan 10 sen seliter bahan api lonjak kadar inflasi tahunan sebanyak 0.3 mata peratusan | DagangNews Skip to main content

Maybank IB anggar kenaikan 10 sen seliter bahan api lonjak kadar inflasi tahunan sebanyak 0.3 mata peratusan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Dis - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menganggarkan setiap kenaikan 10 sen seliter bahan api bakal menyebabkan kadar inflasi tahunan meningkat sebanyak 0.3 mata peratusan.

 

Katanya, rasionalisasi harga bahan api perlu dilakukan secara beransur-ansur bagi mengurangkan kesan ke atas inflasi kerana ia akan meningkat berbanding 2.6% pada tahun ini kepada 3% pada tahun hadapan.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan proses dan masa rasionalisasi subsidi bahan api akan dilakukan secara berperingkat, mengambil petunjuk daripada sasaran yang jelas bagi mengurangkan subsidi bahan api sebanyak RM6 bilion pada 2024, berbanding dengan jumlah subsidi RON95 dan diesel tertinggi yang dicatatkan sebanyak RM41.75 bilion pada tahun lalu (RM45.2 bilion jika termasuk gas petroleum cecair atau LPG iaitu gas memasak).

 

"Kami menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3% bagi 2024 walaupun terdapat unjuran pemotongan kadar faedah dalam ekonomi maju utama dan rakan setara ASEAN.

 


"Malaysia berdepan risiko kenaikan inflasi tahun hadapan kesan kenaikan cukai berasaskan pengguna dalam Belanjawan 2024 termasuk kenaikan cukai perkhidmatan kepada 8% berbanding 6% dan beberapa cukai lain," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Maybank IB berkata, bagi pelaksanaan subsidi bahan api, Hab Pangkalan Data Pusat (PADU) akan digunakan bagi pemberian subsidi bersasar berdasarkan kepad apendapatan boleh guna bersih.

 

PADU yang diumumkan pada Mei lalu menggabungkan 270 pangkalan data daripada kementerian, agensi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan badan berkanun melalui perjanjian perkongsian data untuk menyatukan dan memusatkan maklumat sosio-ekonomi individu/isi rumah di negara ini.

 

"Pangkalan data itu sedang menjalani ujian sistem dan percubaan sebelum boleh diakses oleh orang ramai pada suku pertama tahun hadapan bagi kemas kini maklumat dan pengesahan sebelum ia beroperasi sepenuhnya," katanya.

 

Sementara itu,firma penyelidikan itu berkata, penggunaan PADU boleh dioptimumkan bagi memudahkan penyasaran kerajaan bagi pemberian subsidi serta bantuan sosial lain.

 

Katanya, ia akan membantu menambah baik pemberian tunai sedia ada, kebajikan, perlindungan sosial dan program jaringan keselamatan dengan tujuan untuk menangani isu ralat, salah guna dan ketirisan. - DagangNews.com