Maybank IB jangka cadangan penggabungan MAHB, MAG boleh meningkatkan kos penerbangan | DagangNews Skip to main content

Maybank IB jangka cadangan penggabungan MAHB, MAG boleh meningkatkan kos penerbangan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Jun - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan cadangan penggabungan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Malaysian Aviation Group (MAG) akan meningkatkan kos penerbangan bagi jangka panjang.

 

Firma itu berkata, cadangan penggabungan itu akan menimbulkan pelbagai persoalan termasuk tadbir urus korporat selain boleh menjejaskan aliran tunai MAHB  sehingga memberi kesan kepada Perjanjian Operasi baharu.

 

Firma itu juga melihat sinergi yang tidak begitu memberangsangkan antara kedua-dua kumpulan itu dan difahamkan penggabungan itu akan membantu MAG 'bersaing dengan berkesan dengan syarikat penerbangan bajet dan syarikat penerbangan baharu'.

 

Katanya, keadaan itu memberi bayangan bahawa MAHB mungkin perlu mengenakan caj pendaratan dan tempat letak kereta (L&P) yang lebih rendah selain caj perkhidmatan penumpang (PSC) kepada MAG yang dilihat sebagai isu tadbir urus korporat dan tidak sesuai dengan pemegang saham minoriti MAHB.

 

Pada FY22, MAG merekodkan kerugian yang lebih kecil sebanyak RM344 juta yang merupakan prestasi kewangan terbaiknya dalam masa yang lama dan tiada jaminan bahawa mereka tidak akan merekodkan kerugian besar.

 

Firma itu berkata, sekiranya Perjanjian Operasi baharu mengikut kertas perundingan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia kedua, MAHB perlu melabur lebih RM3 bilion sehingga FY26A untuk Sistem Pengendalian Bagasi dan Aerotrain baharu di KLIA, mengembangkan lapangan terbang Pulau Pinang dan Subang dan sokongan kewangan MAG.

 

Projek-projek itu tidak mungkin dibiayai sepenuhnya oleh ekuiti MAHB memandangkan hutang bersihnya sebanyak RM5 bilion pada akhir suku pertama 2023 dan mungkin perlu memanfaatkan pasaran hutang untuk pembiayaan.

 

"Pada pandangan kami, pemegang hutang memerlukan kadar faedah/keuntungan yang lebih tinggi untuk mengambil kira sifat kitaran model perniagaan MAG sekiranya ia digabungkan dengan MAHB.

 

"Sekiranya MAHB mengguna pakai model asas aset terkawal yang memberikan kos kepada pengguna pada FY27, kadar faedah/keuntungan yang lebih tinggi akhirnya akan menyebabkan caj L&P dan PSC yang lebih tinggi.

 

"Malah keadaan itu akan meningkatkan kos penerbangan dalam jangka panjang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM6.99 sesaham. - DagangNews.com