Maybank IB jangka kehadiran pelancong rendah beri kesan kepada jualan InNature | DagangNews Skip to main content

Maybank IB jangka kehadiran pelancong rendah beri kesan kepada jualan InNature

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Julai - Maybank Investment Bank ( Maybank IB) menjangkakan jualan InNature Berhad di setiap cawangan The Body Shop akan meningkat pada kadar yang perlahan didorong kehadiran jumlah pelancong yang rendah.

 

Firma itu berkata, jualan kumpulan itu mula mencatatkan peningkatan di cawangan-cawangan di Malaysia, Vietnam dan Kemboja dari bulan ke bulan bermula 1QFY22.

 

Buat masa sekarang, jualan domestik mereka sudah pulih hampir 83% seperti sebelum pandemik pada 2019 manakala Vietnam mencatatkan pemulihan lebih pantas dengan peningkatan 8% lebih tinggi berbanding tiga tahun lalu.

 

"Walaupun pelancong antarabangsa sudah mula hadir ke Malaysia, pelancong dari China dan Asia Barat yang menjadi penyumbang terbesar kepada jualan mereka masih belum hadir.

 

"Hasil jualan daripada kehadiran pelancong yang tinggi sebelum ini menyumbang sebanyak 15% termasuk 5% daripada cawangan di lapangan terbang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu merancang untuk membuka empat lagi cawangan baharu The Body Shop di Malaysia, enam cawangan di Vietnam dan satu di Kemboja pada FY22.

 

Sehingga 30 Jun 2022, kumpulan itu sudah memiliki 118 cawangan iaitu 78 di Malaysia, Vietnam (40) dan kemboja (dua).

 

"Prestasi jualan mereka di cawangan yang menggunakan konsep aktivis (Sunway Pyramid dan Mid Valley, South Key) menyumbang jualan 40% lebih tinggi secara purata," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu 65 sen. - DagangNews.com