Maybank IB jangka kerugian hospital baharu KPJ berkurangan didorong pertambahan pesakit | DagangNews Skip to main content

Maybank IB jangka kerugian hospital baharu KPJ berkurangan didorong pertambahan pesakit

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Mei - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan kerugian daripada hospital baharu KPJ Healthcare Berhad berkurangan selepas menerima lebih ramai kehadiran pesakit.

 

Selain itu, firma itu berkata, keuntungan mereka juga akan meningkat berikutan pelupusan operasi di Indonesia menjelang separuh kedua 2023.

 

Kami menjangkakan kerugian berkurangan daripada hospital dalam kandungan kerana jumlah pesakit terus meningkat, serta keuntungan yang bertambah baik berikutan penyempurnaan pelupusan operasi Indonesia menjelang 2Q23.

 

"Hospital Pakar Damansara 2 (DSH2) juga boleh menyumbang secara positif kerana berjaya menarik lebih ramai pelancong perubatan.

 

"Pelupusan Jeta Gardens, yang disasarkan untuk disiapkan menjelang FY24, juga penting untuk meningkatkan margin keseluruhan kerana entiti itu masih menyumbang kerugian yang besar kepada kumpulan (kerugian selepas cukai sebanyak RM21 juta pada FY22) walaupun mengekalkan kadar penghunian yang tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, keuntungan melonjak kepada RM51.9 juta bagi 1QFY23 daripada RM22.14 juta yang direkodkan pada suku yang sama tahun kewangan 2022.

 

Perolehan pula meningkat kepada RM828.98 juta daripada RM641.64 juta, kenaikan sebanyak 29%, bagi tempoh yang sama.

 

Keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) bagi suku ini adalah sebanyak RM190.2 juta, 27% lebih baik daripada RM150.3 juta yang dicatatkan pada suku sama sebelumnya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM1.20 sesaham. - DagangNews.com