Maybank IB jangka pendapatan TH Plantations terkesan akibat penurunan harga minyak sawit mentah lebih daripada jangkaan | DagangNews Skip to main content

Maybank IB jangka pendapatan TH Plantations terkesan akibat penurunan harga minyak sawit mentah lebih daripada jangkaan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih rendah daripada jangkaan merupakan antara faktor mempengaruhi pendapatan, harga sasaran (TP) dan penarafan untuk TH Plantations Berhad.

 

Firma penyelidikan itu berkata, antara faktor lain yang turut memberi kesan termasuk keadaan cuaca buruk yang memberi kesan kepada pertumbuhan keluaran yang lebih buruk daripada jangkaan selain dasar negatif yang dikenakan oleh negara pengimport.

 

Selain itu, dasar tidak mesra oleh kerajaan dan Indonesia ke atas segmen huluan dan hiliran juga memberi kesan kepada kumpulan itu.

 

"Tindakan menurunkan harga minyak mentah secara mendadak menyebabkan permintaan biodiesel sawit tidak berdaya maju harga minyak seperti kacang soya dan biji sawi lebih rendah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23), kumpulan itu mencatat keuntungan bersih RM16.8 juta, menurun 46% daripada RM31.35 juta tahun lalu, sementara pendapatan kumpulan merosot 28.9% kepada RM318.9 juta berbanding RM448.6 juta sebelumnya.

 

BACA JUGA: Untung bersih TH Plantations merosot 45.6% kepada RM5.31 juta pada 2QFY23

 

TH Plantations menjelaskan bahawa penurunan pendapatan tersebut disebabkan terutamanya oleh kemerosotan purata harga realisasi bagi MSM dan isirung sawit, yang masing-masing jatuh 30.1% dan 50.8% dalam tempoh yang sama, walaupun kedua-duanya mencatatkan peningkatan dalam pengeluaran dan jumlah jualan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengeluaran buah tandan segar (BTS) untuk separuh pertama tahun ini meningkat mencapai 42% daripada ramalan setahun penuh.

 

"Kami menjangkakan pengeluaran pada separuh kedua 2023 yang lebih kukuh mengikut musim dan atas dasar itu kami mengekalkan unjuran pertumbuhan BTS sebanyak 5% untuk FY23," katanya.

 

Maybank IB menyemak turun penarafan TH Plantation kepada 'jual' berbanding 'pegang' dengan TP lebih rendah iaitu 48 sen sesaham. - DagangNews.com