Maybank IB jangka perkembangan KDNK Malaysia perlahan kepada 3% pada suku kedua 2023 | DagangNews Skip to main content

Maybank IB jangka perkembangan KDNK Malaysia perlahan kepada 3% pada suku kedua 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku kedua 2023 perlahan kepada 3% kesan penguncupan merentas dalam semua sektor.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pada suku lepas Indeks Volum Perkhidmatan perlahan iaitu 5% berbanding 8.8% pada suku pertama manakala Indeks Pengeluaran Perindustrian hampir tidak berubah.

 

Katanya, pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) menyusut sebanyak 6.9% pada suku kedua berbanding pertambahan 3.2% pada suku pertama dan nilai kerja-kerja pembinaan menyederhana kepada 8.1% berbanding 9.4% pada suku pertama tahun ini.

 

"Berdasarkan kepada fakta itu, pertumbuhan KDNK suku kedua 2023 dijangka perlahan kepada 3% pada suku kedua berbanding 5.6% pada suku pertama.

 

"Bagaimanapun data sebenar akan dikeluarkan pada 18 Ogos ini dan ramalan pertumbuhan KDNK tahun penuh semasa kami adalah 4.5% berbanding 8.7% pada tahun lalu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sektor pengeluaran yang sangat berkait rapat dengan KDNK pembuatan menunjukkan kemerosotan berikutan penguncupan dalam industri berorientasikan ekspot.

 

Antara industri terkesan termasuk industri perkomputeran, produk elektronik & optik, kok & produk petroleum bertapi dan produk berasaskan getah.

 

"Industri domestik berkembang walaupun lebih perlahan disokong oleh produk logam fabrikasi, mesin & peralatan, produk pemprosesan makanan dan logam asas," katanya.

 

Firma itu berkata, sektor perlombongan juga terkesan dengan pengeluaran minyak mentah & kondensat dan gas asli yang rendah. - DagangNews.com