Maybank IB kekal berhati-hati terhadap pasaran minyak sawit mentah berikutan prospek makroekonomi tidak menentu | DagangNews Skip to main content

Maybank IB kekal berhati-hati terhadap pasaran minyak sawit mentah berikutan prospek makroekonomi tidak menentu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Mei - Maybank Investment Bank (Maybank IB) kekal berhati-hati terhadap pasaran minyak sawit mentah (MSM) berikutan prospek makroekonomi tidak menentu selain unjuran harga yang tidak kompetitif selepas Ramadan.

 

Firma itu berkata, prospek pengeluaran minyak sawit dijangka bertambah baik ia akan mencapai kadar pemulihan bermusim.

 

Selain itu, terdapat tekanan harga yang ketara pada minyak bunga matahari, minyak soya dan minyak canola sejak awal tahun.

 

"Harga MSM telah menguncup dengan ketara berbanding minyak pesaing utama yang lain berbanding enam bulan lalu.

 

"Reuters melaporkan baru-baru ini bahawa India telah membatalkan 75,000 tan pembelian minyak sawit buat kali pertama dalam beberapa tahun dan beralih kepada minyak saingan untuk penghantaran Mei, termasuk minyak bunga matahari dan soya.

 

"Kami mengekalkan pandangan berhati-hati kami bahawa harga spot MSM akan terus kekal tidak menentu dalam tempoh terdekat sementara arah aliran rendah menjelang pertengahan tahun berikutan pemulihan bekalan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, anggaran awal eksport Malaysia untuk penghantaran dalam 10 hari pertama Mei 2023 oleh Amspec dan Intertek (juruukur kargo bebas) menunjukkan peningkatan permintaan masing-masing pada 333,779 tan/355,380 tan (+2%/+10% dari bulan ke bulan).

 

Katanya, eksport yang bertambah baik mungkin didorong peningkatan pengeluaran.

 

"Kami percaya stok simpanan April Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mungkin merosot untuk tahun ini dan akan meningkat pada bulan-bulan hadapan dalam pemulihan pengeluaran bermusim.

 

"Kami menjangkakan pemulihan pengeluaran yang kukuh pada separuh kedua tahun ini," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu. - DagangNews.com