Maybank IB kekal unjuran ekonomi Malaysia berkembang 4.4% pada 2024 | DagangNews Skip to main content

Maybank IB kekal unjuran ekonomi Malaysia berkembang 4.4% pada 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Nov - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.4% pada 2024.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prospek optimis itu didorong oleh perbelanjaan pengguna yang berdaya tahan walaupun terdapat kemungkinan inflasi lebih tinggi memandangkan dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) yang stabil iaitu kadar dasar semalaman (OPR) kekal pada paras 3%.

 

Katanya, keadaan itu turut disokong oleh pemulihan sektor pelancongan dan penyusutan kadar pengangguran kepada 3.4% pada 2024 berbanding 3.5% pada tahun ini.

 

"Momentum pertumbuhan pelaburan yang positif selain kemajuan projek infrastruktur utama selain pelancaran projek baharu pada tahun hadapan seperti MRT3 dan LRT Pulau Pinang serta lima stesen tambahan di bawah LRT3 yang sedang dilaksanakan.

 

"Kebangkitan semula kitaran teknologi pada tahun hadapan selepas kemelesetan pada 2023," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Malaysia catat pertumbuhan 3.3% pada suku ketiga 2023, eksport kekal lembap - BNM

 

Terdahulu, perbelanjaan isi rumah terus disokong oleh pertumbuhan selanjutnya dari segi guna tenaga dan upah. 

 

Sementara itu, aktiviti pelaburan disokong oleh kemajuan projek berbilang tahun dan pengembangan kapasiti oleh syarikat.

 

Eksport kekal lembap berikutan kelemahan permintaan luaran yang berpanjangan.

 

Bagaimanapun, keadaan ini sebahagiannya diimbangi oleh kemasukan pelancong asing yang kembali pulih.

 

Firma penyelidikan itu menyemak turun unjuran KDNK bagi tahun penuh 2023 kepada 3.9% berbanding 4% dengan ramalan itu menunjukkan pertumbuhan yang lebih kukuh pada suku keempat tahun ini.

 

Data Oktober 2023 menunjukkan penguncupan dalam indeks pengurus pembelian pembuatan menandakan peningkatan relatif dalam aktiviti dan keadaan sektor pembuatan, manakala output minyak sawit mentah (MSM) mencatatkan pertumbuhan yang lebih kukuh. - DagangNews.com