KUALA LUMPUR 7 Dis - Maybank Investment Bank (IB) mengekalkan unjuran harga minyak mentah Brent pada AS$100 setong bagi 2022 hingga 2023 meskipun Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+) memutuskan ntuk tidak mengubah rancangan mereka bagi mengurangkan output sebanyak dua juta tong sehari bermula pada November.
Penganalisisnya, Liaw Thong Jung berkata, OPEC+ akan terus memainkan peranannya bagi memastikan prospek harga minyak yang kukuh.
Katanya, keputusan itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan, dengan pasaran minyak bertindak balas dengan baik terhadap hasilnya.
"Kami melihat bahawa gabungan itu kekal kukuh, diselaraskan dan berdisiplin serta positif dalam membawa kestabilan kepada pasaran minyak di tengah-tengah desakan Amerika Syarikat (AS) terhadap senario harga minyak yang lebih rendah dengan meningkatkan pengeluaran dan keputusan G7 + Australia untuk meletakkan had harga, pada AS$60 setong terhadap bekalan minyak Rusia.
"Oleh itu, kami menganggap pakatan itu akan terus menguruskan pengeluaran, memperkuatkan peranannya sebagai 'pengeluar swing' untuk prospek harga minyak yang lebih stabil sekitar AS$90 hingga AS$100 setong," katanya dalam nota kajian.
Kumpulan OPEC+, yang diketuai Arab Saudi dan Rusia pada Ahad telah memutuskan untuk membiarkan kuota pengeluarannya yang dipersetujui pada Oktober 2022 tidak berubah.
Malah, ia berpegang pada rancangan yang dipersetujui lebih awal untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak dua juta tong sehari, dengan berjumlah pengurangan pengeluaran sebanyak 1 juta tong sehari (dengan Rusia & Saudi berkongsi pemotongan output sama rata) dari November 2022 hingga akhir 2023.
Pertemuan seterusnya kumpulan itu dijadualkan pada Februari 2023 dengan mesyuaratnya pada 4 Jun 2023.
Menurut Thong Jung, unjuran harga minyak kemungkinan lebih tinggi pada 2023 memandangkan keadaan pasaran bekalan global yang semakin ketat.
Katanya, ia disebabkan struktur kurang pelaburan sejak 2015 dan permintaan untuk minyak yang diunjurkan meningkat pada 2023, dengan pembukaan semula ekonomi China dan peningkatan perjalanan penerbangan di seluruh dunia.
"Ketidakseimbangan yang semakin meluas akan membawa kepada senario harga minyak yang lebih tinggi," jelasnya.
Secara keseluruhan, Maybank IB mengekalkan pandangan 'positif' terhadap sektor minyak dan gas. -DagangNews.com