KUALA LUMPUR 26 Julai - Maybank Investment Bank (Maybank IB) memulakan liputan terhadap kumpulan jualan langsung kesihatan dan kesejahteraan, DXN Holdings Berhad dengan saranan ‘beli’ pada harga sasaran (TP) 90 sen sesaham.
Firma penyelidikan itu menjangkakan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) keuntungan bersih teras tiga tahun (FY23-FY26) kumpulan itu sebanyak 12%, di mana sebahagian besarnya didorong oleh CAGR pendapatan tiga tahun 16%, kestabilan margin operasi pada 29% daripada FY24-FY26 dan kadar cukai terpakai sebanyak 37% setiap tahun.
Menurut firma itu, pertumbuhan pendapatan akan didorong terutamanya oleh pertumbuhan ahli aktif yang lebih tinggi dan purata pendapatan atau ahli aktif di negara Amerika Latin.
Maybank IB menambat pendapatan DXN kepada anggaran nisbah harga-pendapatan (PER) 11 kali ganda tahun kalendar 2024 memperoleh harga sasaran 90 sen itu.
“Sasaran gandaan PER tersebut membayangkan premium 10% kepada purata rakan sebaya domestik CY24 sebanyak 10 kali ganda (wajaran pasaran) memandangkan CAGR untung bersih hadapan tiga tahun DXN stabil pada 12% dan pulangan pada ekuiti purata (ROAE) unggul sebanyak 27% sehingga 31% setiap tahun berbanding julat rakan sebayanya 21% sehingga 22%.
“Harga/pendapatan-kepada-pertumbuhan (PEG) DXN sebanyak 0.7 kali ganda, pada harga saham semasa, juga baik berbanding purata rakan domestiknya sebanyak 1.1 kali ganda,”katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
DXN mempunyai jejak pengedaran global dengan 79 cawangan jualan dan 12 agensi pengedaran luar merentasi 48 negara setakat 31 Mac 2023.
Cawangan dan agensi kumpulan itu menyokong 14.9 juta ahli berdaftar DXN dan 3.6 juta ahli aktif di lebih 180 negara.
DXN telah disenaraikan semula di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 19 Mei 2023 dengan harga tawaran awam permulaan (IPO) pada 69 sen.
Pada waktu penulisan, saham DXN telah menokok 1 sen atau 1.4% kepada 73 sen dengan modal pasaran bernilai RM3.6 bilion. - DagangNews.com