Kerugian bersih Lotte Chemical pada 3QFY24 meningkat kepada RM245.3 juta kesan jualan rendah, penurunan nilai inventori | DagangNews Skip to main content

Kerugian bersih Lotte Chemical pada 3QFY24 meningkat kepada RM245.3 juta kesan jualan rendah, penurunan nilai inventori

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Nov - Kerugian bersih Lotte Chemical Titan Holdings Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 September 2024 (3QFY24) melebar kepada RM245.3 juta berbanding RM56.15 juta bagi suku sama tahun sebelumnya kesan penurunan nilai inventori, jumlah jualan yang rendah serta kerugian lebih tinggi daripada syarikat bersekutu.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku itu juga menyusut sedikit kepada RM1.94 billion berbanding RM1.96 billion pada 3QFY23.

 

Katanya, bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2024 (9MFY24), kumpulan itu mencatatkan penurunan hasil sebanyak 3% daripada RM5.8 bilion kepada RM5.6 bilion.

 

"Penurunan ini disebabkan jumlah jualan yang lebih rendah, yang sebahagiannya diimbangi oleh kenaikan purata harga jualan produk dan pengukuhan dollar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit.

 

"Kerugian bersih meningkat sebanyak 13% daripada RM615.4 juta kepada RM695.8 juta, sebahagian besarnya disebabkan oleh perubahan dalam penurunan nilai inventori kepada nilai boleh direalisasi bersihnya, peningkatan kerugian daripada syarikat bersekutu dan pertukaran asing, kos kewangan yang lebih tinggi serta susut nilai dollar AS berbanding ringgit," katanya.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Park Hyun Chul berkata, walaupun harga purata jualan purata menunjukkan sedikit peningkatan berbanding tahun lepas, industri itu dibelenggu keadaan pasaran yang tidak menentu dan lebihan bekalan produk petrokimia dari China, yang telah mengganggu dinamik bekalan dan permintaan.

 

"Kumpulan kekal prihatin terhadap pelbagai faktor yang boleh menjejaskan harga produk, termasuk tekanan inflasi, sekatan kerajaan dan perubahan dalam cukai atau tarif. 

 

"Dalam memastikan daya tahan perniagaan, pihak pengurusan memantau operasi dengan berhati-hati dan mengurus kecairan kewangan dengan teliti untuk mencapai kecekapan yang lebih tinggi dan mengekalkan kualiti produk yang tinggi," katanya. - DagangNews.com