Pepper Labs lancar dapur digital sasar sokong usahawan mikro wanita B40 | DagangNews Skip to main content

Pepper Labs lancar dapur digital sasar sokong usahawan mikro wanita B40

(Dari kiri) Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif Pepper Labs, Gevi Ananda Roe, Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Nov -  Pepper Labs, sebuah perusahaan sosial melancarkan inisiatif dapur digital bagi menyokong usahawan mikro wanita B40 dengan kemahiran kulinari melalui latihan praktikal dan membangunkan perniagaan mereka. 

 

Pelancaran dapur digital itu merupakan hasil kerjasama Pepper Labs dengan Kementerian Kewangan sebagai penaja utama, serta disokong oleh Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Yayasan Hasanah. 

 

Perusahaan sosial pintar digital itu berkata, inisiatif tersebut menyasar untuk memperkasakan usahawan mikro wanita dari kalangan komuniti PPR (Program Perumahan Rakyat) di Kuala Lumpur, memberikan mereka akses kepada lima dapur digital lengkap.

 

"Model ini mengambil inspirasi daripada perkembangan pesat konsep dapur digital dalam industri makanan dan minuman (F&B),  menawarkan penjimatan kos operasi dan sewa sambil memanfaatkan pertumbuhan pesat dalam permintaan penghantaran dalam talian. 

 

"Kami mengenalpasti unit PPR yang kosong dan kurang digunakan dan mengubahsuainya menjadi dapur komersial melalui kerja pengubahsuaian dan pemasangan peralatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Pepper Labs

Para tetamu kehormat dilihat menyerahkan replika kunci kepada Dapur Digital Wangsa Sari

 

Melalui inisiatif dapur digital, program itu bertujuan untuk melatih wanita daripada komuniti kurang berkemampuan bukan sahaja untuk mempertajam kemahiran dan mengasah bakat dalam bidang kulinari, tetapi juga untuk memberi bimbingan menyeluruh dalam pelbagai aspek pengendalian dan pengurusan perniagaan makanan. 

 

Katanya, dari pembangunan produk sehingga pemasaran digital, peserta akan dibimbing dalam memanfaatkan teknologi dan platform dalam talian secara strategik. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pepper Labs, Gevi Ananda Roe berkata, inisiatif itu bukan sahaja melengkapkan peserta dengan kemahiran yang diperlukan, tetapi juga menyediakan laluan jelas menuju kebebasan kewangan selepas tamat latihan.

 

"Ini membolehkan mereka terus maju dan berkembang sebagai usahawan berjaya dalam ekonomi makanan digital. 

 

"Inisiatif ini mengiktirafkan para peserta dengan kelayakan yang bukan sahaja meningkatkan kepakaran kulinari mereka tetapi juga memberi mereka keterlihatan yang lebih luas di platform teknologi makanan," katanya.

 

Di samping itu, Pengasas Bersama Pepper Labs, Ir. Kuhan Pathy menjangkakan dapur digital bakal menjana pulangan ekonomi sekitar RM1.2 juta dalam tempoh dua tahun. 

 

"Kami berharap dapat memperluaskan inisiatif ini dalam pelbagai bidang untuk memberi manfaat kepada lebih ramai wanita,” katanya.- DagangNews.com