Maybank IB mulakan liputan terhadap Optimax dengan saranan 'beli', TP 74 sen | DagangNews Skip to main content

Maybank IB mulakan liputan terhadap Optimax dengan saranan 'beli', TP 74 sen

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Julai - Maybank Investment Bank (Maybank IB) memulakan liputan terhadap Optimax dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) 74 sen.

 

Firma itu berkata,  Optimax ialah penyedia perkhidmatan pakar mata yang disenaraikan di Malaysia yang menyediakan rawatan untuk penyakit dan gangguan mata, dan pembedahan pembetulan refraktif.

 

Katanya, ia menawarkan pelbagai perkhidmatan pakar mata dan mempunyai 13 pusat pakar di seluruh Malaysia

 

"Buat masa sekarang Optimax berada di Pasaran ACE Bursa Malaysia tetapi dijangka berpindah kepada Pasaran Utama pada 4QFY22," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu sedang merancang untuk membuka pusat penjagaan ambulatori (ACC) baharu di Bahau, Negeri Sembilan dan hospital pakar mata baharu di Kempas, Johor.

 

Firma itu menjangkakan, hospital di Kempas akan beroperasi menjelang 2H24 serta bakal menjadi penyumbang utama kepada pendapatan masa hadapan dan pengembangannya dibiayai oleh kedudukan tunai bersih dan aliran tunai yang stabil.

 

"Kami juga positif terhadap prospek pertumbuhan jangka panjang kumpulan berikutan kerjasamanya dengan Selgate Group of Hospitals untuk mewujudkan kemudahan pakar mata di hospitalnya," katanya.

 

Firma mengunjurkan untung bersih tiga tahun kumpulan itu bermula FY21 hingga FY24E pada kadar tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 8.9%.

 

"Bagi mencerminkan prospek pertumbuhan jangka panjang kumpulan itu, kami mengunjurkan CAGR hasil FY24E-FY30E sebanyak 10% yang akan diperoleh daripada operasi hospital Kempas yang akan datang dan pelaksanaan susulan kerjasama dengan Selgate Group," katanya. - DagangNews.com