KUALA LUMPUR 8 Mac - Maybank Investment Bank (IB) Research memulakan liputan terhadap Aurelius Technologies Bhd. dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) RM1.92.
Firma itu menjangkakan kumpulan akan meraih untung bersih yang kukuh dengan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) 50% bagi tahun kewangan 2022 (FY22) hingga FY24.
Pertumbuhan ini didorong CAGR hasil 2 tahun sebanyak 20% dan pengembangan secara menyeluruh dalam margin keuntungan kasar daripada 11.4% bagi FY22 kepada 15.2% pada FY24.
"Kami menjangkakan komponen semikonduktor akan merangkumi 11% daripada hasil kumpulan menjelang FY24, tetapi 40% daripada keuntungan kasar kumpulan yang lebih tinggi pada masa itu, disebabkan margin yang lebih tinggi," katanya dalam nota kajian.
Sehubungan itu, ia menganggap penarafan yang diberikan kepada Aurelius dengan nilai wajar pada RM1.92, ditambat kepada nisbah harga kepada pendapatan (PER) 14x bagi 2023.
"Penilaian kami mencerminkan premium 10% kepada purata PER wajaran pasaran 2023 sebanyak 12.6x untuk pemain industri bagi EMS domestik dan serantau.
"Malah, kami percaya premium kedua-duanya adalah munasabah dan wajar dengan melihat kepada CAGR untung bersihnya bagi FY22-FY24, lebih tinggi berbanding purata 10% pemain industri lain," jelasnya.
Maybank IB juga berpendapat Aurelius mempunyai hampir 100% tenaga kerja tempatan, yang secara tidak langsung mewajarkan lagi premium ini, terutamanya dalam persekitaran kontroversi buruh asing yang melanda industri baru-baru ini.
Pada 16 Disember 2021, Aurelius memulakan dagangan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia dengan mencatat premium 5 sen kepada RM1.41, berbanding harga tawaran RM1.36 sesaham.
Berdasarkan hasil tawaran awam permulaan (IPO), penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) untuk produk perindustrian elektronik itu menjana sebanyak RM104.73 juta.
Sebanyak RM40 juta akan diguna bagi membeli mesin dan peralatan baharu, RM29.52 juta untuk pembayaran balik pinjaman, RM28.13 juta untuk modal kerja dan RM7.09 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.
Aurelius menawarkan pilihan menyeluruh EMS kepada syarikat multinasional meliputi 11 negara di Asia Pasifik, benua Amerika dan Eropah.
Perkhidmatan itu merangkumi sokongan kejuruteraan, penyediaan prototaip, pemasangan board, pemasangan mekanikal, ujian dan pelabelan bagi komunikasi dan Internet Kebendaan (IoT), peranti elektronik dan produk komponen semikonduktor diguna di dalam industri pengangkutan serta pengurusan tenaga, telekomunikasi dan IoT. - DagangNews.com