KUALA LUMPUR 8 Mac - Maybank Investment Bank (IB) Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Hibiscus Petroleum Bhd. dengan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM1.90 berbanding RM1.70 sebelum ini.
Penilaian TP itu mengambil kira prospek harga minyak mentah yang lebih tinggi, akan meningkatkan pendapatan kumpulan antara 9 hingga 28% bagi tahun kewangan 2022 (FY22) hingga FY24.
Firma itu turut menyemak semula harga minyak lebih tinggi sebanyak AS$10 setong kepada AS$90 dan AS$85 masing-masing bagi FY22 dan FY23/24 tetapi mengurangkan prospek pengeluaran Repsol bagi FY22 sebanyak 2,000 tong yang meningkatkan perbelanjaan operasi/setong sebanyak AS$3.
Malah, ia turut menyifatkan pengambilalihan Repsol yang dimuktamadkan pada 24 Januari 2022 adalah tepat pada masanya, dengan mengambil kira prospek harga minyak yang lebih tinggi.
"Melihat kepada semua faktor ini, kami menjangkakan Hibiscus akan merekodkan pertumbuhan pendapatan yang kukuh bagi FY22 dan FY23 dengan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) 3 tahun masing-masing sebanyak 80%," katanya dalam nota kajian.
Secara dasarnya, Hibiscus, pemain tulen dalam hiliran minyak dan gas (OG) dengan peningkatan kos yang rendah, akan meraih paling banyak kelebihan dengan lonjakan tenaga yang kukuh.
Harga minyak melepasi paras AS$100 setong dan sepatutnya kekal dalam tempoh yang panjang.
Dalam pasaran tenaga, ia berdepan dengan dilema permintaan kukuh pasca pandemik, gangguan bekalan dan peningkatan risiko geopolitik berikutan krisis Rusia-Ukraine.
Menurut Maybank IB, lanjutan Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Repsol, urus niaga pengewangan aset terhadap sumber 2C atau tambahan rizab 2P akan meningkatkan lagi prospeknya.
Bagaimanapun, katanya, penurunan risiko bergantung kepada kelemahan berterusan harga minyak yang boleh menjejaskan prestasi harga sahamnya.
Ketika mengakhiri dagangan tengah hari ini, saham Hibiscus kekal tidak berubah pada RM1.34 dengan 45.66 juta saham diniagakan. - DagangNews.com