Maybank IB negatif terhadap langkah Bermaz Auto kembalikan hak pengedaran Peugeot kepada Stellantis | DagangNews Skip to main content

Maybank IB negatif terhadap langkah Bermaz Auto kembalikan hak pengedaran Peugeot kepada Stellantis

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 24 Nov - Maybank Investment Bank (Maybank IB) negatif terhadap langkah Bermaz Auto mengembalikan hak pengedaran jenama Peugeot kepada pemiliknya, Stellantis.

 

Semalam, kumpulan itu dilaporkan telah mengumumkan ia tidak memperbaharui perjanjian pengedarannya dengan Stellantis selepas tamat tempoh pada November 2023. 

 

Ini adalah susulan rancangan Stellantis menubuhkan syarikat jualan nasional (NSC) di Malaysia pada suku pertama 2024, yang akan mengemudi dan menguruskan aspek pengedaran dan jualan kenderaan pengeluar kereta itu di negara ini.

 

"Kami negatif terhadap perkembangan ini memandangkan ia menyebabkan lebih banyak persaingan di hadapan, walaupun sumbangan kerugian operasi Peugeot jejas pendapatan kumpulan.

 

"Dengan perkembangan terbaharu ini, Bermaz Auto meletakkan sasaran jualan yang lebih rendah sebanyak 24,000 unit dalam FY24 (sebelum ini 24,600 unit) dengan impak akan dirasai dalam tempoh lima bulan selepas pemberhentian pengedaran Peugeot, mulai November 2023," ulas Maybank IB dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma penyelidikan itu mendedahkan jika Bermaz Auto mengekalkan perkongsian dengan Stellantis dengan Bermaz Auto beralih daripada pengedar eksklusif kepada pengedar super, ini berpotensi meningkatkan margin keuntungan dalam jangka pendek, dengan operasi Peugeot kini mengalami kerugian kecil.

 

Susulan perkembangan baharu ini, firma penyelidikan itu mengurangkan unjuran pendapatan Bermaz Auto bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2024, 2025 dan 2026 (FY24-26) masing-masing sebanyak 15%, 17% dan 16%.

 

Oleh itu, ia mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah 15% pada RM3.51 sesaham daripada RM4.14 sebelumnya berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) bagi FY24 kekal pada 12.5 kali.

 

Bagaimanapun, Maybank IB berkata ia terus menyukai Bermaz Auto kerana asas kewangannya  kukuh dan berdaya tahan, dengan kedudukan tunai bersih dan aliran tunai bebas (FCF) yang kukuh (keperluan perbelanjaan modal [capex] minimum disebabkan model perniagaannya yang ringan aset). 

 

"Walaupun kehilangan pengedaran Peugeot, pertumbuhan FY24 kekal disokong oleh permintaan kukuh yang berterusan untuk Mazda dan peningkatan campuran pemasangan tempatan (CKD), memberikan keterlihatan pendapatan yang baik. 

 

"Walaupun dengan andaian nisbah pembayaran dividen (DPR) kami konservatif sebanyak 75%  (berbanding sejarah. DPR sebanyak 78% hingga 114%), Bermaz Auto sudah menawarkan divhasil dividen yang menarik lebih 8%," tambahnya.

 

Saham Bermaz Auto telah menurun 5 sen atau 2% kepada RM2.40 pada pukul 2:42 petang ini, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM2.8 bilion.  - DagangNews.com