Maybank IB positif terhadap prospek jangka panjang Aurelius didorong keupayaan mendapatkan lebih ramai pelanggan baharu | DagangNews Skip to main content

Maybank IB positif terhadap prospek jangka panjang Aurelius didorong keupayaan mendapatkan lebih ramai pelanggan baharu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Jan - Maybank Investment Bank (Maybank IB) positif terhadap prospek jangka panjang Aurelius Technologies Berhad didorong keupayaan mereka untuk mendapatkan lebih ramai pelanggan baharu.

 

Katanya, unjuran pertumbuhan positif itu juga disokong oleh inisiatif pengembangan perniagaan kumpulan selain keupayaan mereka mengeluarkan produk baharu.

 

Bagaimanapun, katanya, kumpulan itu berpotensi berdepan cabaran jangka pendek disebabkan permintaan pengguna akhir yang lemah dalam beberapa sektor tertentu.

 

"Sumbangan besar daripada pemangking pertumbuhan utama kumpulan itu hanya dapat dirasai apabila pengeluaran besar-besaran meningkat pada separuh kedua 2024," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu bercadang mengambil alih tanah perindustrian di Taman Teknologi Tinggi Kulim daripada Northern Technocity Sdn. Bhd. berharga RM12.15 juta.

 

Tanah seluas 270,034 kaki persegi itu bertujuan menyokong inisiatif pengembangan strategik Aurelius pada masa akan datang.

 

Firma penyelidikan itu berkata, harga belian RM12.15 juta itu dianggap adil dan sejajar dengan tanah bersebelahan yang disenaraikan antara RM38 hingga RM55 bagi setiap kaki persegi.

 

Katanya, cadangan pengambilalihan tanah itu disasarkan untuk pengembangan kilang P5 dan ia merupakan rancangan pengembangan berterusan di atas tanah yang dibeli pada tahun dengan kos sebanyak RM13.6 juta bagi 302,000 kaki persegi.

 

"Pembesaran itu akan menyaksikan meningkatkan kapasiti kilang Aurelis sebanyak dua kali ganda berbanding yang sedia ada," katanya.

 

Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.05 sesaham. - DagangNews.com