Maybank IB semak naik unjuran pendapatan CIMB sebanyak 5% bagi FY23 didorong kos kredit rendah | DagangNews Skip to main content

Maybank IB semak naik unjuran pendapatan CIMB sebanyak 5% bagi FY23 didorong kos kredit rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Dis - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyemak naik unjuran pendapatan CIMB Group Holdings Berhad sebanyak 5% bagi FY23 didorong kos kredit yang lebih rendah.

 

Firma penyelidikan itu juga menjangkakan pulangan tahunan atas purata ekuiti (ROE) kumpulan lebih tinggi iaitu 10.2% bagi FY23-FY24 berbanding 9.8% dan 10% sebelum ini.

 

"Unjuran ROE kami adalah sama seperti sasaran pengurusan sebanyak 10.2% hingga 11% dan berada di bawah sasaran 11.5% hingga 12% bagi FY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, pendapatan operasi 9MFY23 meningkat 7% kepada RM15.64 bilion, dengan pendapatan faedah bersih (NII) merosot sedikit sebanyak 1.8%, sebahagian besarnya disebabkan oleh pemampatan margin faedah bersih (NIM).

 

BACA JUGA: Kumpulan CIMB raih untung bersih RM5.27 bilion bagi 9M23, meningkat 28 peratus

 

Sementara itu, pendapatan bukan faedah (NOII) menyaksikan prestasi teguh, berkembang sebanyak 35.0% YoY kepada RM4.71 bilion didorong oleh pelaburan yang lebih kukuh dan pendapatan berkaitan pasaran.

 

Momentum pertumbuhan pinjaman kasar CIMB berterusan, meningkat 6.4% YoY, disokong oleh permintaan kukuh merentas pasaran dan segmen, manakala deposit meningkat 8.6% YoY walaupun persaingan berterusan untuk deposit di semua pasaran.

 

Maybank IB berkata, sasaran pengurusan untuk FY23 sebahagian besarnya dikekalkan, tetapi secara positifnya, panduan kos kredit telah diturunkan kepada 35-45bps daripada 40-50bps sebelum ini.

 

Katanya, pertumbuhan pinjaman berdasarkan panduan sebanyak 6% hingga 7% manakala nisbah kos/pendapatan kumpulan sebanyak 46.3% adalah sejajar dengan sasaran pengurusan di bawah 46.5%.

 

"Bagaimanapun, penguncupan NIM sebanyak 26bps bagi 9MFY23 adalah lebih besar daripada jangkaan penguncupan 15-20bps pengurusan.

 

"Jangkaan ialah NIM berkemungkinan melihat lebih banyak penguncupan dari suku tahun ke suku tahun pada suku keempat disebabkan peningkatan dalam persaingan deposit domestik," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM6.70 sesaham. - DagangNews.com