Maybank IB semak turun pendapatan Velesto sebanyak 5% bagi FY25 kesan kelemahan pasaran pelantar penggerudian | DagangNews Skip to main content

Maybank IB semak turun pendapatan Velesto sebanyak 5% bagi FY25 kesan kelemahan pasaran pelantar penggerudian

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyemak turun pendapatan Velesto Energy Bhd sebanyak 5% bagi FY25 kesan kelemahan pasaran pelantar penggerudiaan semasa.

 

Katanya, semakan itu juga adalah berdasarkan kepada kadar penggunaan sekitar 90% dan kadar sewa harian (DCR) sebanyak AS$127,000 (RM565,946).

 

Firma penyelidikan itu berkata, berdasarkan jadual pelantar terkini kumpulan itu, Naga 2, Naga 4, Naga 6 dan Naga 8 memiliki kontrak sehingga akhir 2025 dan awal 2026 manakala Naga 3 dijadualkan untuk melengkapkan perintah kerja semasa pada suku keempat tahun ini sebelum memasuki tinjauan berkala khas (SPS) 

 

"Berdasarkan maklumat semasa, Naga 3 sedang berusaha mendapatkan kontrak baharu daripada pasaran Malaysia atau Asia Tenggara selepas menjalani SPS.

 

"Sementara itu Naga 5 sedang dalam rundingan lanjut bagi mendapatkan kontrak jangka panjang (dua tahun) daripada sektor minyak di Malaysia, bagaimanapun butiran mengenainya adalah terhad tetapi kami menantikan pengumuman rasmi daripada kumpulan itu.

 

"Oleh itu, kami berpendapat, kumpulan itu cukup terlindung daripada penangguhan perbelanjaan modal pelanggan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Maybank IB berkata, dengan Naga 2, Naga 4, Naga 6 dan Naga 8 memiliki kontrak jangka panjang ditambah jangkaan DCR lebih tinggi bagi Naga 3 dan Naga 5 tidak lama lagi, kumpulan itu diramal mencatatkan pendapatan esaham (EPS) yang kukuh sebanyak 53% pada FY25.

 

Katanya, prospek kumpulan itu dijangka kukuh didorong kekurangan pengendali pelantar tempatan serta keupayaan serantau kumpulan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 32 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com