Maybank IB semak turun unjuran untung bersih YTL Hospitality REIT bagi FY25 dan FY26 sehingga 2% | DagangNews Skip to main content

Maybank IB semak turun unjuran untung bersih YTL Hospitality REIT bagi FY25 dan FY26 sehingga 2%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyemak turun unjuran untung bersih YTL Hospitality REIT bagi FY25 dan FY26 antara 1% hingga 2% selepas untung bersih terasnya bagi FY24 sebanyak RM149 juta berada di bawah jangkaan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, anggaran pertumbuhan kumpulan itu sebahagian besarnya masih didorong oleh prestasi yang lebih baik di hartanah Australia, iaitu kadar bilik dan kadar penghunian yang lebih tinggi.

 

"Ramalan pendapatan jangka pendek kami adalah berdasarkan pendapatan sewa yang stabil daripada hartanah Malaysia dan Jepun di bawah aturan pajakan induk (59% daripada jumlah pendapatan hartanah bersih (NPI) pada FY24).

 

"Kami menjangkakan penggearan mereka meningkat kepada 0.45x (berbanding 0.43x pada akhir FY24) selepas pengambilalihan dan cadangan pengubahsuaian Syuen Hotel di Ipoh (untuk RM55 juta) dan cadangan pembangunan Moxy Niseko (anggaran RM199 juta)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, YTL Hospitality REIT melaporkan peningkatan 9.7% dalam NPI bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2024 (4QFY24), meningkat kepada RM65.8 juta daripada RM59.9 juta setahun sebelumnya, didorong oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada kedua-dua hotel dan hartanah segmen sewaan.

 

Hasil suku tahunan meningkat 10.7% tahun ke tahun kepada RM130.2 juta daripada RM117.6 juta.

 

Pendapatan YTL REIT tersedia untuk pengagihan pada suku tersebut susut 1.11% kepada RM42.23 juta daripada RM42.7 juta sebelumnya.

 

Maybank IB berkata, bagaimanapun, pendapatan 4QFY24 diimbangi oleh kos kewangan yang lebih tinggi (20%) daripada kadar faedah yang lebih tinggi untuk pinjaman dolar Australia dan pinjaman yang lebih tinggi untuk membiayai pemerolehan Hotel Stripes Kuala Lumpur.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM1.25 sesaham," katanya.- DagangNews.com