KUALA LUMPUR 12 April - Maybank Investment Bank (Maybank IB) memperluaskan liputan pasarannya dengan pelancaran sulung terbitan waran berstruktur terhadap saham-saham tersenarai di Bursa Saham New York (NYSE).
Dalam satu kenyataan hari ini, Maybank berkata ia menjadi satu-satunya penerbit waran berasaskan Ringgit terhadap syarikat tersenarai NYSE, di mana pelancaran itu terdiri daripada enam waran panggilan dan waran jualan baharu ke atas tiga bank iaitu Bank of America, Citigroup dan waran pertama di Malaysia terhadap Wells Fargo.
Waran-waran tersebut boleh didagangkan di Bursa Malaysia mulai hari ini, membolehkan pelabur memanfaatkan pandangan mereka terhadap tiga daripada empat bank terbesar di Amerika Syarikat (AS) mengikut jumlah aset.
Mengulas lanjut, Ketua Pengurusan Pelaburan Maybank IB, Azzahir Azhar berkata waran berstruktur telah menjadi semakin popular dan pihaknya percaya penambahan saham tersenarai di AS dalam tawaran bank itu akan menjana minat yang kukuh daripada pelabur di Malaysia.
“Dengan latar belakang inflasi dan kebimbangan kemelesetan yang semakin meningkat, ditambah pula dengan kegawatan perbankan baru-baru ini, terdapat peluang bagi pergerakan selanjutnya untuk harga saham tiga bank AS dalam pelancaran sulung kami hari ini,” tambahnya.
Waran direka bentuk secara unik dengan tempoh yang lebih lama untuk memberikan pelabur lebih masa untuk berpotensi mendapat keuntungan daripada pergerakan dalam bahagian asas.
Selain itu, dengan kemudahan alat Live Matrix, pelabur boleh menjejaki potensi harga waran berstruktur pada pelbagai peringkat harga saham tersenarai NYSE asas masing-masing agar boleh menganggarkan pergerakan harga waran berdasarkan pandangan mereka terhadap harga sasaran saham asas.
Menurut kenyataan tersebut, waran berstruktur ke atas saham tersenarai asing membolehkan pelabur mendapat pendedahan kepada pasaran asing dengan perbelanjaan modal jauh lebih rendah dan tanpa memerlukan akaun dagangan asing, di samping menikmati kemudahan menyelesaikan dagangan mereka dalam mata wang tempatan.
“Sebagai penerbit pasaran waran berstruktur yang memenangi anugerah, kami terus memantau nama popular dalam kalangan pelabur serta pasaran saham menarik lain yang boleh ditambah dalam tawaran kami,” tambah Azzahir.
Menurut beliau, Maybank IB memperkenalkan waran berstruktur buat julung kali baru-baru ini ke atas syarikat di Malaysia dengan permodalan pasaran sekurang-kurangnya RM500 juta dan tahun lepas, waran pertama ke atas saham tersenarai di Hong Kong dilancarkan.
“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan Bursa Malaysia untuk meningkatkan penyertaan runcit dengan menyediakan lebih banyak pilihan pelaburan,” tambahnya.
Maybank Investment Bank ialah peneraju dalam mereka bentuk produk berstruktur di Malaysia yang telah memenangi beberapa anugerah iaitu ‘Best Market Maker for Structured Warrants’ di Anugerah Kecemerlangan Bursa 2022 dan ‘Best Bank for Investment Solutions, Equity’ di The Asset Triple A Private Capital Awards selama tiga tahun berturut-turut pada 2020, 2021 dan 2022. -DagangNews.com